Monday, November 28, 2022

Manifesto Pilihan Raya Umum Malaysia 2022 (PRU15)

 
PRU 15


Anda sokong siapa?


PERIKATAN NASIONAL:
https://www.pnbest.my/tawaran-pnbest


PAKATAN HARAPAN:

https://kitaboleh.my/ 


BARISAN NASIONAL:
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/11/1022492/manifesto-bn-teks-penuh-ucapan-pengerusi-bn-lancar-padu


Tidak kisahlah siapa yang anda sokong, yang penting mereka membela agama, bangsa dan negara, itu sudah cukup bagus. 

Silakan.




Tahniah DSAI!

اللهم اجعل ولايتنا فيمن خافك واتقاك يا رب العالمين


Wednesday, June 23, 2021

Solat Jemaah Fardhu Kifayah

Kosong

Rasa nak menangis harini. 

Sudah 10 minit azan berkumandang namun tiada jemaah yang hadir. Kosong!

Lalu kelihatan muazzin solat sendirian. Saya yang datang agak lewat bersama seorang lagi jemaah lain masuk masbuq pada rakaat ketiga.

"Haha... Adli masbuq sokmo"

Mungkin ada yang tertawa sinis kalau tahu Adli pergi solat berjemaah. Yalah, penyakit apa entah sampai payah betul nak dapat muwafiq. Tapi takpelah, orang nak ketawa, biarkan ketawa. Itu bukan isunya di sini


Fardhu Kifayah

Ramai yang tahu dan sudah belajar dari kecil dulu bahawa hukum solat berjemaah ni fardhu kifayah. Kalau tak silap ini silibus Pengajian Islam darjah tiga. Tapi sayang, bila ramai yang tahu hukumnya fardhu kifayah, mereka faham 'kifayah' sahaja lalu meninggalkan yang 'fardhu' tersebut.

Ada yang berseloroh "fardhu kifayah, sorang buat yang lain tak payah".

Sunday, June 13, 2021

SPM Pro Max

Tahniah diucapkan buat adik-adik semua. Generasi SPM paling unik kita pernah jumpa setakat ni. Moga terus berjaya Pro Max semua. 

 


SPM Pro Max



Malas tulis panjang-panjang, kita buat video je. Sila tonton kalau rajin. hehe


Ringkasan video:

- Tahniah buat adik-adik SPM Pro Max.

- Syukur atas apa jua keputusan yang diperoleh.

- Tetapkan niat nak belajar. Untuk ilmu!

- Belajar kerana minat. Minatlah apa yang dipelajari.

- Jangan niat nak kaya. 

- Nak kaya kena kerja. Nak belajar untuk ilmu.

- Amalkan ilmu dalam kehidupan seharian. 





Wednesday, June 9, 2021

PANDAI SENDIRI

Jual tupperware

Isteri saya agen tupperware. Biasalah setiap bulan iklankan katalog tupperware untuk tatapan peminat bekas makanan ni. Sampailah satu hari, ada seorang makcik ni mesej, tanya tentang tupperware. Kami pun pergilah ke rumahnya alang-alang tidak berapa jauh dari rumah kami. Sampai di rumahnya, sedang berborak dan bertanya khabar, tiba-tiba cucunya datang dengan telefon di tangan. Main game ke tengok youtube ke, tak pastilah. Si nenek lalu bertanya

"Amin, dah solat?"

Amin (bukan nama sebenar) menjawab

"not yet nenek."

Lalu nenek membalas

"Dah2. Faster go to solat"

Sengaja bersifat ramah, saya lantas bertanya kepada makcik tersebut

"Mak ayahnya cakap inggeris ya dengan Amin ni?"

Makcik tu jawab

"Taklah. Mak ayahnya cakap Bahasa Melayu je. Kami di rumah ni semua cakap Bahasa Melayu. Cucu ni tiba-tiba je pandai sendiri bahasa inggeris. Hihi... Tak tahulah mari mana bahasa tu".

Balas makcik tadi spontan. Tak tahu kenapa, tapi saya rasa tawa ringkasnya itu menunjukkan beliau seronok cucunya 'pandai sendiri'. Pandai speaking pula tu. 


Bukan tiba-tiba

Monday, June 7, 2021

SAYA YANG MENURUT PERINTAH

Bila kuku dah panjang, kita potong. Sampai terputus kuku tu dari tempat asalnya. Terpelanting ke bawah lalu disapu pergi atau dibiar tidak terusik. Kejam tak?


Kejam tak jika kita melihatnya dari perspektif sebelah tangan yang memegang pengepit kuku lalu dipotong kuku di tangan yang sebelah lagi? Kalau dibuat karangan autobiografi 'aku kuku terpenggal' atau dimainkan unsur personafikasi dalamnya, pasti nampak kejam bukan? Walhal itulan ketetapan normal yang menjadi aturan alam ini.

Begitulah dunia. Ada peraturan yang telah ditetapkan Allah untuk kita ikut dan patuh. Samada suka atau tidak, terpaksa atau rela, kalau itu peraturannya, itulah juga yang akan berlaku.

Potong kuku ni perkara biasa. Urusan mingguan (bagi yang potong setiap minggulah). Mungkin tak rasa apa-apa bila kita bagi analogi potong kuku. Apa kata kita rujuk pula surah Yasin ayat 65:

"Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan."

Bila difikirkan kaki dan tangan yang menjadi peneman sepanjang hidup kita, lalu di akhirat nanti akan belot (kalau kita buat maksiat) terhadap kita 'tuannya' sendiri, pasti nampak macam mustahil. Namun itulah peraturan Allah. Bahkan kaki dan tangan ini di dunia ini sekadar pinjaman buat kita. Hakikatnya Allah yang punya. Di akhirat nanti, apabila Allah arahkannya, pasti akan ia patuh. Kita tidak punya apa-apa.




Sama macam konteks potong kuku tadi. Di dunia ini, kedua-dua tangan ini 'milik' kita. Bebaslah kita nak buat apa pun. Tangan akan ikut apa yang kita 'perintahkan' tanpa banyak soal. Nak potong kuku ke, nak tolong orang ke, nak buat maksiat ke, itu semua terserah pada kita. Pilihan bertindak itu milik kita. Kita boleh arah tangan yang kita pinjam ini untuk lakukan apa sahaja yang kita inginkan. Walaupun pilihan bertindak itu milik kita, namun ingatlah kebenaran tindakan itu milik Allah. Setiap tindakan kita itu dihukum benar atau salah mengikut apa yang Allah telah tetapkan. Maka, pilihlah tindakan yang sebaiknya. Moga segala apa yang kita lakukan di dunia ini akan membawa manfaat buat kita di akhirat kelak insyaaAllah.




Thursday, December 10, 2020

LQM0823 - S803

 



Sila siapkan latihan di bawah. Kita akan bincangkan bersama pada Rabu hadapan (16/12/2020) InsyaaAllah




















Saturday, August 15, 2020

BAKTI RINGKAS


Kadang-kadang kita tak sangka jasa kecil yang kita sumbangkan, yang tidak keluar peluh tidak penat tidak lelah apa langsung, namun mampu memberi impak yang besar pada orang lain. Pernah dengar mithqala zarrah (مثقال ذرة)? Dalam Al-Quran ada disebut dalam Surah Al-Zalzalah ayat ketujuh dan kelapan, bahawa sekecil mana sekalipun amalan kita, baik atau buruk, semuanya akan diperlihatkan di akhirat kelak. Tapi betulkah sekecil-kecil perkara pun dikira? 


Kalau nak fikir tentang perkara ghaib, tentang dosa pahala, memang tak tercapai dek akal. Tapi kalau kita kiaskan pada perkara yang tercapai dek pancaindera, mungkin sedikit sebanyak mampu memudahkan pemahaman kita tentang perkara ini. Alhamdulillah, baru-baru ini saya direzekikan untuk menang sebuah pertandingan. Menang bukan biasa-biasa, menang hadiah utama! Alhamdulillah, segala puji dan syukur buat Tuhan semesta alam.


MENANG SUKA

Pertandingan ini dianjurkan oleh Farmasi Marmin, sebuah syarikat farmasi yang mempunyai beberapa buah cawangan di Pahang dan Kelantan. Pertandingannya mudah. Siapa yang gambarnya mendapat paling banyak sukaan dan sebaran (baca: like dan share), maka dialah johan. Johan, hadiahnya sebuah HDTV 32". Sebelum masuk pertandingan, saya tidaklah begitu teruja untuk menang tv tersebut. Tapi lepas diumumkan bahawa sayalah pemenangnya, perasaan tersebut berubah. 

Thursday, April 30, 2020

LQM 0206/8

الدَّرْسُ الثَّامِنُ


Zorf makan secara ringkasnya merupakan penentuan kedudukan dalam Bahasa Arab. Berikut merupakan antara zorf makan dan maksudnya:



Moga bermanfaat.


p/s: Nota tambahan menyusul...





Saturday, March 11, 2017

Ya, saya bodoh

DALAM KELAS

Saya: Please everyone, be at your own seats.
Murid: (duduk di tempat masing-masing, kecuali beberapa orang.) 
Saya: Let's start our class with doa.
Murid: Bismillah...

Lalu para murid membaca doa untuk memulakan pelajaran. Doa yang biasa kita baca masa kecil-kecil dahulu.


اللهم افتح علينا حكمتك وانشر علينا من خزائن رحمتك يا أرحم الراحمين

Maksudnya: Ya Allah, bukakanlah bagi kami kebijaksanaanmuu, dan sebarkan (rahmat) buat kami daripada gedung-gedung rahmatMu, wahai Tuhan yang Maha Pemurah.


Lalu ditambah doa nabi Musa yang boleh kita dapati dalam surah Taha, ayat 25-28

قال رب اشرح لي صدري (25)

Maksudnya: Nabi Musa berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku;

 ويسر لي أمري (26)

Maksudnya: Dan mudahkanlah bagiku, tugasku;

واحلل عقدة من لساني (27)

Maksudnya: Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku,

يفقهوا قولي (28)

Maksudnya: Supaya mereka faham perkataanku

Sumber terjemahan: http://www.surah.my/20


Kemudian ditambah sedikit lagi:

رب زدني علما وارزقني فهما
Maksudnya: Wahai Tuhan, tambahkanlah ilmu bagiku, dan rezekikanlah bagiku kefahaman.


Beginilah rutin harian saya. Paling tidakpun buat masa ini. Begini jugalah rutin harian kebanyakan guru di Malaysia. Melayan kerenah anak-anak setiap hari. Mengajar mereka sesuatu, belajar daripada mereka sesuatu yang baru. Cuma beza antara saya dengan sekolah kebangsaan yang lain, bahasa perantaraan di sini ialah Bahasa Inggeris.

Saya mengajar seperti biasa. Menulis di hadapan, menerangkan kepada pelajar, lalu memantau mereka menyiapkan latihan. 

Tetapi saya perhatikan ada seorang murid asyik bermain. Geram juga dibuatnya. Lalu saya mendekatinya dan cuba memahami apa yang dia perlukan sebenarnya.

Friday, July 15, 2016

Tadarus vs. Shadow fight

Perfect

Malam itu, seperti malam-malam biasa bulan Ramadhan, kami bertadarus beramai-ramai. Saya bertukar kumpulan hari ini. Kalau malam-malam biasa saya bersama pakcik-pakcik, tapi disebabkan semalam kumpulan tadarus veteran tersebut sudah khatam 30 juzuk, maka saya berpindah ke kumpulan tadarus remaja. Pakcik-pakcik veteran masih lagi meneruskan tadarus. Mereka mulakan semula bacaan dari juzuk satu. Rajin sungguh mereka.

Masalah yang berlaku tidak jauh berbeza samada dalam kalangan dewasa ataupun remaja. Masih ada yang bacaannya gagap, masih ada yang berulang kali tersalah huruf, dan macam-macam masalah lain. Disebabkan itulah perlunya beberapa orang yang agak berkebolehan memerhati bacaan setiap kumpulan tadarus supaya kesalahan bacaan dapat dikurangkan. Tambah-tambah lagi apabila terjumpa bacaan istimewa seperti imalah, isymam, tashil dan sebagainya.   *Rujuk nota di hujung artikel.

Malam itu, sedang kami memerhati bacaan salah seorang peserta tadarus, saya terpandang Leman(bukan nama sebenar) menunduk sambil bermain sesuatu di telefon pintarnya. Ketika itu bukan gilirannya membaca Al-Quran.

Leman: Yes!
Saya: Apa yang yes?
Leman: Perfect ustaz.
Saya: Perfect apa?
Leman: Ni haa, saya main shadow fight. Nyawa perfect. Power!
Saya: Kalau baca Al-Quran perfect lagi bagus.

Leman tersengih mendengar jawapan saya lalu terdiam sebentar. Selang beberapa ayat Al-Quran dibacakan oleh rakannya, Leman merapati saya lalu berbisik.

Leman: Pedas ayat ustaz tadi.
Saya: Haa... tahu pun. 

Wednesday, May 18, 2016

"Saya tak respect ustaz-ustaz ni......."

Terkejut

"Saya tak respect ustaz-ustaz ni......." 

Kata seorang pakcik di surau ketika berbual dengan seorang penceramah jemputan. Penceramah tersebut berlatarbelakangkan pendidikan sains, bukan bidang agama. Saya yang terdengar ayat sebegitu terpacul keluar dari mulutnya jadi terkejut. Beliau menyambung terus:

"Saya tak respect ustaz-ustaz ni, sebab ilmu agama itu memang bidang mereka. Kalau mereka terlibat dalam urusan agama, memang itu yang sepatutnya kerana mereka belajar bidang tersebut. Tetapi orang macam tuan ini saya respect. Belajar bidang lain, tetapi melibatkan diri pula dalam urusan dakwah." 

Mulanya saya agak tersentak mendengar ayat seperti itu. Bukan kerana berbangga dengan gelaran 'ustaz' yang pernah diberi oleh anak-anak murid, tetapi saya merasakan ada unsur takabbur dalam ungkapan seperti itu. 

Pakcik itu ahli surau. Namanya terpampang jelas pada papan organisasi surau. Pastinya beliau sudah temui ramai ustaz yang dijemput ke surau untuk memberi ceramah, atau yang dijemput untuk berkongsi ilmu, ataupun ustaz yang dijemput memberi pengisian dalam aktiviti-aktiviti surau tersebut. Apabila disebut "saya tak respect ustaz-ustaz..." saya tertanya-tanya, apa perlukah diungkapkan ungkapan angkuh sebegitu?

Wednesday, April 6, 2016

Aku, kau, doktor dan Allah

Viral. 

Baru-baru ini (4 April 2016), kecoh dalam facebook tentang teguran Dr Harlina terhadap seorang peniaga yang membahasakan diri DrHar sebagai 'awak'. Macam-macam komen dimuatnaik, ada yang setuju, ada yang tidak setuju, ada yang mengeluarkan komen sarkastik dan pelbagai reaksi terhasil akibat teguran ringkas DrHar.

Saya bukanlah orang yang terlalu mengenali DrHar, apatah lagi untuk mengikuti aktivitinya sehari-hari. Tetapi setakat yang saya tahu, beliau merupakan seorang yang dihormati lagi berakhlak mulia. Tegurannya itu pula, setelah saya amati, tiada unsur riak mahupun takabbur tentang jawatan diri ataupun gelaran 'doktor' yang disandang. Baca screencap di bawah:




Sunday, December 13, 2015

Y.E.S.

Pernah dengar dengar tentang YES? Bukan perkataan yes Bahasa Inggeris. Tapi akronim YES yang membawa maksud Year End Sale atau dalam Bahasa Melayu disebut Jualan Akhir Tahun. Biasanya ramai orang tahu tentang YES ini kerana inilah waktunya untuk membeli belah. Pada hujung tahun inilah biasanya gedung-gedung pakaian, kedai-kedai sukan, pasaraya-pasaraya mengadakan jualan secara besar-besaran untuk menghabiskan stok masing-masing. Inilah masanya buat para pengguna menggunakan peluang sebaik mungkin untuk membeli belah kerana peluang sebegini hanya datang setahun sekali. 

Ramai yang mengambil kesempatan di YES untuk memborong baju baru, telefon baru, perabot baru, dan macam-macam lagi. Tapi amat jarang yang mengambil peluang akhir tahun ini untuk memborong buku-buku baru walhal kebanyakan penerbit buku menawarkan potongan harga yang agak lumayan di akhir tahun ini. Ada yang tawarkan potongan 15%, ada 20%, ada 25%, ada yang tawarkan beli satu percuma satu, ada yang tawarkan belian kombo, dan macam-macam lagi promosi yang ditawarkan. Rugi kalau tak beli.

Saya memang minat membaca walaupun ia bukan hobi saya yang pertama. Alhamdulillah, dalam tempoh dua bulan ini, banyak juga buku baru yang saya beli dalam jualan promosi akhir tahun di beberapa tempat berbeza. Antaranya ialah:

1) Menalar Makna Diri, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil.

Siapa yang kenal saya sepatutnya sudah tahu bahawa ustaz Hasrizal merupakan antara contoh ilmuwan yang sangat saya kagumi. Kejujuran beliau terhadap ilmu sangat mengagumkan. Saya mula tertarik dengan beliau dari ceramah-ceramah di radio dan internet. Kemudian saya lebih mendalami cara pemikiran beliau dengan membaca artikel-artikel di laman www.saifulislam.com dan www.abah.my serta membaca buku beliau yang berjudul Di hamparan Shamrock, ku seru namaMu. Ada orang menuduh ustaz Hasrizal ini geng wahabi, biasanya yang menuduh ini golongan yang mengaku sufi. Dari sudut yang berbeza, ada juga yang menuduh ustaz Hasrizal ini sufi, biasanya yang menuduh ini golongan yang mengaku wahabi. Paling teruk, ada yang menuduh ustaz Hasrizal ini 'ustaz cinta', atau lebih jelek, 'HANYA ustaz cinta'. Aneh, orang sebaik ini dituduh macam-macam. 

Memang benar ustaz Hasrizal pernah menulis tentang cinta, benar juga ustaz Hasrizal pernah mengeluarkan pendapat yang agak selari dengan golongan wahabi dan benar juga ustaz Hasrizal pernah mengeluarkan pendapat yang selari dengan golongan sufi. Tapi itu semua bukan alasan untuk menuduh atau meletakkan label tertentu terhadap beliau. Saya sendiri tidak tahu nak melabelkan beliau dengan label yang macam mana. Cukup saya tahu beliau ini seorang muslim yang soleh, maka apa-apa pendapat beliau yang soleh, saya ambil pengajaran daripadanya, apa-apa yang saya tidak setuju, saya tinggalkan.



Saya sendiri ada beberapa perkara yang tidak saya setuju dari kenyataan-kenyataan ustaz Hasrizal. Antara yang paling terkesan di hati adalah berkaitan politik; antara PAS dan PAN. Namun begitu, tindakan ustaz Hasrizal meninggalkan PAS tidak sedikitpun mengurangkan pandangan hormat saya terhadap beliau. Beliau ada cara tersendiri, liku-liku hidup beliau dalam politik punya cerita tersendiri, maka hasilnya beliau yang hari ini. Saya hormati.

Saya beli buku baru beliau ini, untuk memahami lebih lagi tentang beliau dan perjalan beliau dalam menjejaki sejarah hidup Imam Birgivi. Saya pernah dengar serba sedikit tentang Imam Birgivi ketika menghadiri salah satu seminar ustaz Hasrizal. Saya tidak tahu secara terperinci tetapi apa yang saya tahu, Imam Birgivi ini seorang warga Turki dan juga merupakan seorang ahli sufi, lebih-lebih saya tidak tahu. InsyaAllah, cerita terperinci tentang Imam Birgivi dan pengajaran dari kisah hidupnya akan saya peroleh selepas membaca buku Menalar makna kehidupan karya ustaz Hasrizal ini. InsyaAllah.


2) Mauizhah Tok Guru



Seakan-akan sedang berbicara secara berhadapan. Macam mata bertemu mata. Itu yang saya rasakan apabila membaca buku Mauizhah ini. Sebagaimana mauizhah itu sendiri membawa maksud 'nasihat', perasaan saya ketika membaca buku ini seakan-akan sedang dinasihati oleh Allahyarham Tuan Guru. Tulisan beliau jika dibandingkan dengan ceramah beliau, hampir tidak berbeza. Sepertimana ceramah-ceramah beliau yang biasanya akan bersifat tegas dalam bersahaja, tulisan beliau juga begitu. Bersahaja tetapi tegas. Tidak banyak bermain bahasa sebaliknya lebih 'straight to the point'. Mauizhah ini sangat sesuai dibaca dan dihadam oleh sesiapa sahaja yang ingin memperbaiki diri menjadi lebih baik.Mauizhah dari Tok Guru memang berharga.


3) Bijak Mengurus Wang

Sesuai dengan tajuknya, buku ini mengajar kita untuk menjadi lebih bijak mengurus wang. Penulisnya bukan calang-calang. Setakat yang saya tahu, Puan Hajah Rohani ini merupakan Ketua Pengarah Eksekutif di HIJRAH Strategic Advisory Group Sdn Bhd, sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan nasihat dalam bidang kewangan (macam-macam perkhidmatan lagi sebenarnya). Apa yang seronok tentang buku Bijak Mengurus Wang ini, ia ditulis oleh orang berpengalaman. Jadi, banyak perkara boleh didapati dalam setiap tajuk yang dikupas. Asasnya, buku ini terbahagi kepada lapan bahagian. 

  1. Liku-liku kewangan anda
  2. Pendapatan dan perbelanjaan
  3. Pengurusan hutang
  4. Penyucian harta
  5. Perlindungan
  6. Pelaburan
  7. Persaraan
  8. Pembahagian harta



Apa yang menarik, buku ini mengulas dari mula waktu muda, ketika duit sedikit (dalam tajuk liku-liku kewangan anda) hinggalah ke waktu tua, ketika harta patut dibahagikan (dalam tajuk pembahagian harta).

Setiap bahagian ini diulas melalui topik kecil yang ringkas dan padat. Bagi sesiapa yang belum mampu mengurus kewangan sendiri, setiap kali hujung bulan akaun masih berbaki kurang RM 100, maka saya sangat mencadangkan anda untuk membaca buku ini.

Selain tiga buku di atas, ini buku-buku lain yang dikumpulkan dalam tempoh dua bulan ini. 






Weh korang, membaca ni best tau!



Friday, October 2, 2015

Kedua

Pernah dengar orang kata anak kedua ni kebanyakannya rebel?

Ada yang setuju, ada yang tidak. Tapi kalau tanya saya, saya setuju. Sebab saya pun anak kedua dan saya sedar ada sedikit sikap rebellious dalam diri saya. Bahkan beberapa orang kenalan saya yang merupakan anak kedua apabila ditanya tentang kenyataan ini, mereka setuju. Bila disebut rebel, walaupun biasanya difahami sebagai jahat, namun bukan semuanya begitu. Rebel ni kalau dijaga dengan betul, boleh menjadi satu sikap yang bawa banyak kebaikan. 


APA ITU REBEL?

Penat saya menaip satu perenggan di atas tentang anak kedua rebel, rupa-rupanya masih ada yang belum faham maksud rebel tu apa. Rebel ini merupakan satu kata nama (noun) yang berasal dari Bahasa Inggeris maksudnya pemberontak. Kata sifatnya(adjective) rebellious iaitu berontak. Berontak itu apa? Kalau kita rujuk kamus dewan edisi keempat berontak antara lainnya bermaksud 'menunjukkan kemarahan atau penentangan terhadap sesuatu perkara'.

Jadi, bila orang kata anak kedua ni rebel, maksudnya anak kedua ni suka marah dan menentang. Tang mana baiknya?

Sunday, September 20, 2015

Mana datang dulu?

Latar tempat: Rumah pakngah

*Sesudah beraya*

Sameon: Kami balik dulu ya pakngah.
Pakngah: Baik-baik pandu kereta tu. 
Najmah: Selamat Hari Raya ya pakngah, makngah.
Makngah: Selamat Hari Raya juga. Nanti bila-bila ada masa lapang datanglah lagi. Tak perlu tunggu raya untuk datang ziarah.
Najmah: InsyaAllah makngah, pakngah. 


Latar tempat: Dalam kereta

*Dalam perjalanan pulang*

Najmah: Kak Farah cantikkan abang?
Sameon: Farah mana?
Najmah: Kak Farah anak pakngah dan makngahlah.
Sameon: Cantik? Abang tak rasa dia cantik.
Najmah: Tak cantik? serius?
Sameon: Ya, tak cantik. Tapi kemas. 
Najmah: Kemas dengan cantik bukan sama ke?
Sameon: Eh, lain. Perempuan cantik ni dia pakai baju dan tudung tak bergosok pun cantik. Cuba Jemah bayangkan Nora Danish atau Siti Nurhaliza pakai tudung tak bergosok, hilang tak cantiknya?
Najmah: Muka diorang dah memang cantik. Tak boleh nak katalah.
Sameon: Betul tu. Sekarang cuba bayangkan kak Farah pakai tudung tak bergosok, cantik tak?
Najmah: Hilang terus cantiknya. haha...
Sameon: Betul tak? Itulah bezanya antara kemas dengan cantik. Cantik itu anugerah, kemas itu pilihan. Kalau tak cantik tapi kemas, orang pandang pun selesa. 
Najmah: Betul tu. Macam Najmah, dahlah cantik, kemas pula tu. Kan abang?
Sameon: Tolonglah sedar diri.
Najmah: Hehe...  
Sameon: Contoh lainnya, Doktor Muhaya. Jemah kenal Doktor Muhaya?

Wednesday, September 2, 2015

Inside out

I've just watched a movie last Saturday and to be honest, it's a great movie. Although I'm not the type that love to spend the weekend watching movies, but for this movie, there is an exception. I'm not watching it accidentally neither I'm forced to watch it by anyone else. I am purposely go to the TGV to watch the movie as I've already attracted to it just by watching the trailer.
  
Have any of you ever heard about 'Inside out'? It's a movie by pixar and it's about a girl's life named Riley Andersen. This movie is not just about what Riley do but it is more about how Riley decide to do something. Inside out is all about Riley's emotions and the emotions are those who decide how Riley will react to the outside world. Since first I watched the trailer on youtube, I've already attracted to this movie as for me, this is a simple yet creative way to learn about emotions and psychology. In another words, 'Inside out' can also be called as 'Psychology for dummies'.

Riley's emotions

There are five emotions introduced in this movie and they are 'joy', 'anger', 'fear', 'disgust' and 'sadness'(for me, disgust is not an emotion but, who cares...). It's true that there are more than five emotions in our real life but to make the story flow smoothly, I think five is enough. Joy is the one that controls Riley's happiness and it is the reason why Riley can keep smiling all the time. Until the climax of the story, Joy is seemed as the protagonist of the story and also as the main emotion for Riley unlike her mother and her father. It's obvious that the main emotion for Mr. Andersen is anger while for Mrs. Andersen, it is sadness. 



Inside out

While joy has always been the protagonist, most people thought sadness was the antagonist. But for me, it's not. Although in our real life, sadness has always been the opposite of happiness but in this story, sadness is the sidekick of joy. In fact in our daily life, sadness is also the sidekick of joy, not the contrary. I myself realize this after watching the movie. Yeah, it's true that sadness bring tears in our life but, if we take a deep look into it, sadness has always been the reason for others to care us more. Would anyone come to you and ask if anything was wrong if you look happy the whole day? 

Joy, sadness, and memory (that shining ball represent memory)

Furthermore, as everyone knows, crying (which is the symbolic of sad) also can relieve our stress and make us more relax than before. If we are deep hurted inside but at the same time we can't crying, we might go insane. It's good to be happy the whole day, but sometimes we need to feel the sadness as it can reflect our lacks so that we can improve it next time (or we may let others such as friends and family to fix it for us).

As conclusion, for those who are not watching this movie yet, you should watch it. 

"Crying helps me slow down and obsess over the weight of 
life’s problems." -Sadness, Riley's emotion.

Monday, August 31, 2015

Aku tengok porn. Jadi?

BERTAUBATLAH!

Itulah perkara yang pertama dan paling utama dilakukan selepas melakukan maksiat. Bertaubat. Tidak kiralah anda tengok porn ke, mengumpat ke, tinggalkan solat ke, setiap kali anda melakukan maksiat kepada Allah, bertaubatlah. Jangan biarkan maksiat itu menjadi sebati dengan diri anda. Maksiat yang saya maksudkan ini dalam erti kata lain melakukan apa yang Allah larang atau meninggalkan apa yang Allah suruh. Tengok porn contohnya, merupakan suatu kesalahan yang sangat tidak bermoral samada dipandang dari sudut adab Melayu mahupun panduan Islam. 

Saya berkawan dengan orang dari pelbagai latar belakang. Dari dulu sampai sekarang, semua orang yang saya kenal kalau ada yang mempunyai ketagihan ini biasanya akan melakukannya di malam hari, ketika berseorangan. Kalau ada orang lain tahu pun disebabkan tidak sengaja. Terkantoi. Tapi kebelakangan ini, saya terjumpa beberapa orang remaja yang dengan terang-terangan mengaku dia telah menonton itu dan ini. Menjijikkan! 

Ketika bermain futsal, apabila bola dijaringkan, tiba-tiba dikeluarkan beberapa perkataan lucah seperti @$!%#@$ ataupun #!@#%. Sedang melepak di kedai mamak, tiba-tiba ada yang buka cerita "semalam aku tengok ini main depan, itu main belakang". Ada pula yang tiba-tiba menunjukkan koleksi video dan gambar yang disimpan dalam telefon pintar masing-masing. Tak rasa malu ke? Telefonnya pintar, pemakainya dungu. 

Wednesday, August 19, 2015

Mana vapers bok mai sini tengok

Isu rokok elektronik sudah lama dibangkitkan di Malaysia. Sejak sekitar 2012 kalau tak silap. Benda baru(kalau dibandingkan dengan rokok), macam-macam sudutlah orang bincangkan. Sudut kesihatan, sudut agama, status jualan dalam negara, dan lain-lain. Saya sendiri berkawan dengan beberapa orang pengguna rokok elektronik ini atau yang sekarang popular dengan nama vape. Setakat ni tiada masalahpun berkawan dengan vapers ni.

Tetapi sejak akhir-akhir ini, hangat isu vape diceritakan di facebook. Paling hangat sebaik sahaja Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa pengharaman vape. Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan dalam Irsyad fatwanya pun menyatakan pendirian yang sama iaitu hukum menghisap rokok elektronik atau vape ini haram. Ramai vapers tidak bersetuju. Tidak kurang juga yang melenting.


Kalau tidak bersetuju sahajapun sudah satu masalah. Macam isu rokok, ramai juga yang tidak bersetuju dengan pengharamannya lalu terus merokok tanpa niat untuk berhenti. Tetapi isu vape ini lebih membimbangkan apabila ada sebahagian vapers yang tanpa segan silu menuduh mufti sengaja berfatwa demikian atas tujuan membela kerajaan. Kononnya fatwa haram vape dikeluarkan kerana penjualannya tidak dikenakan cukai. AstaghfirUllah.

Kawan-kawan vapers sekalian,
fatwa yang dikeluarkan ini untuk pengetahuan kalian, bukanlah disebabkan tiada cukai. Kalau disebabkan cukai, rokok sepatutnya sudah lama diwartakan sebagai halal di Malaysia, tetapi realitinya bagaimana? Rokok dikenakan cukai. Cukai hasil jualan rokok antara sumber ekonomi Malaysia. Tetapi mufti tidak pernah menarik balik hukum pengharaman rokok. Rokok masih haram. Cukai masih dikutip.

Vape diharamkan bukan atas alasan cukai. Kawan-kawan semua boleh baca kenyataan mufti berkaitan isu ini. Isu utamanya masalah kesihatan dan pembaziran. Sama macam rokok. [Baca sini]

Saya tidak tahu samada vape lebih baik dari rokok ataupun tidak. Tapi bagi kawan-kawan yang memang sudah sedia ada merokok, saya tidak kisahpun kalau kalian kurangkan merokok atau beralih kepada vape sebagai usaha untuk berhenti merokok. Niat ingin berubah itu sudah cukup baik. Biar dari rokok pindah ke vape lalu lama kelamaan berhenti terus. Moga Allah mudahkan usaha kalian.

Tapi untuk kawan-kawan yang tidak pernah merokok, tiba-tiba anda vape atas alasan vape tidak berbahaya terhadap kesihatan, tolonglah berhenti segera sebelum kalian ketagih dengan vape. Kalau ada yang mengatakan vape lebih baik dari rokok, itu mungkin ada benarnya (kita tunggu hasil kajian KKM dua bulan lagi). Tapi bagi yang mengatakan vape langsung tidak berbahaya, anda tersilap. Vape juga mengandungi nikotin (dan beberapa kandungan lain), cuma kuantitinya berbeza antara satu perisa dengan yang lain. 



Masalah kesihatan satu hal, masalah pembaziran pun ada juga. Sebab itu saya katakan tadi, kalau kawan-kawan yang merokok berpindah kepada vape, saya tidak rasa terkilan sangat tetapi kalau dari tidak merokok tiba-tiba vape, hentikanlah segera sebelum anda betul-betul ketagih. RM 40 yang digunakan untuk beli perisa setiap dua minggu sekali lebih baik digunakan untuk beli beras, gula, garam serta barangan dapur yang lain. Lebih bermanfaat berbanding jika digunakan untuk beli perisa wap air tadi.

Semoga kalian yang berusaha untuk berhenti dimudahkan urusan oleh Allah. Semoga kalian yang baru hisap vape sempat berhenti sebelum betul-betul ketagih. 

Sekian.

Adli Rosdi,
Maulana foodcourt Taman Sri Serdang,
19/8/2015.

Thursday, August 13, 2015

Untuk adik-adik

Untuk adik penuntut ilmu
dengar sini abang berseloka
tentang pengalaman abang dahulu
semoga dapat faedah bersama

masuk uni tujuannya ilmu
seterusnya pula belajar budaya
ilmu banyak di dalam buku
budaya ada di mana-mana

niat belajar mestilah ikhlas
niat untuk kuasai ilmu
supaya segala usaha terbalas
supaya keluarga dapat dibantu

bukan fokus keluarga sahaja
rakyat Malaysia ada berjuta
lepas keluarga kecap bahagia
tolonglah yang lain juga

abang sudah sebutkan tadi
pertama ilmu kedua budaya
tuntut ilmu suatu yang mesti
fahami budaya jangan dilupa

di uni ada banyak budaya
adik jumpa ramai manusia
ambillah yang baik sahaja
apa yang buruk jangan dicuba

di uni kawan abang kata
ini tempat mencari cinta
kerana di sini ramai setara
selalu disebut 'sekufu' bunyinya

sekufu ilmu sekufu fikiran
boleh berbincang pelbagai segi
abang pun setuju dengan si kawan
dia pun pernah mencinta sekali

tapi dia mula terasa 
pelajaran sudah jadi celaru
lalu dia hentikan seketika
fokuskan pada mencari ilmu

adik-adik boleh teladani
boleh bercinta jangan membenci
tapi waspada dan hati-hati
jangan sampai terlupa diri

kawan abang tekadkan hati
mahu menyambung cinta semula
lepas pelajaran fokus kembali
akan mulalah langkah seterusnya

tapi itu cerita kawan 
biarkanlah kisah dia sendiri
moga bahagia dia berteman
bersama menuju syurga ilahi 

abang sebut sekali lagi
pertama ilmu kedua budaya
pasakkan terus niat di hati
semoga kita semua berjaya

di uni adik jumpa politik
pelbagai cerita pelbagai ragam
bezakan buruk dengan yang baik
supaya pilihan dibuat seragam

ada yang membela nasib pelajar
ada yang mengumpul merit sendiri
entah apa yang mereka kejar
moga yang baik diganjar ilahi

kalau adik rapati mereka
rencam manusia adik fahami
usah turuti segala-gala
cukup pengalaman diri sendiri

selepas uni adik hadapi
dunia sebenar akan dirasa
kalau tiada pengalaman sendiri
bahaya oh adik, bahaya...

dunia sebenar penuh cabaran
bukan seperti hidup di uni
pelbagai onar berjuta kotoran
bagaikan berada di lembah tahi

namun kalau adik berilmu
ditambah pengalaman dengan manusia
InsyaAllah adik kan terus maju
melalui dunia walau derita

Adik nak maju jangan sendiri
bawalah bersama keluarga tercinta
bawa bersama yang lain sekali
berjaya semua bersama-sama

abang rasa dah panjang sangat
rasa macam dah lari punca
tapi ingatlah pesanan keramat
carilah ilmu kajilah budaya

jagalah diri jagalah hati
hati mudah berbolak-balik
sentiasalah berdoa pada ilahi
moga tetapkan yang baik-baik


Gambar dari siri Aqil story

Wednesday, July 29, 2015

Sengaja aku sambung master kerana...

[Artikel ini terinspirasi dari artikel tulisan hakak saya, NourlHousna Tawfiq di blognya, resamkehidupan.blogspot.com]

Pada awalnya saya bercadang untuk menulis tentang bidang master ini secara umum tetapi setelah memerhati perjalanan pengajian beberapa orang kenalan yang mengambil aliran berbeza, maka saya rasa artikel kali ini lebih sesuai saya fokuskan kepada pelajar yang sama aliran dengan saya iaitu aliran sains kemanusiaan. Namun begitu, saya tidak nafikan mungkin beberapa poin yang saya nyatakan nanti terpakai juga untuk rakan-rakan dari aliran lain.

Untuk pengetahuan kalian, 'master' ini dalam bahasa Melayu dipanggil ijazah sarjana manakala 'first degree' yang biasa kita sebut sebagai 'ijazah' itu nama penuhnya ijazah sarjana muda. Sengaja saya ingatkan dulu takut terkeliru nanti.