Wednesday, August 19, 2015

Mana vapers bok mai sini tengok

Isu rokok elektronik sudah lama dibangkitkan di Malaysia. Sejak sekitar 2012 kalau tak silap. Benda baru(kalau dibandingkan dengan rokok), macam-macam sudutlah orang bincangkan. Sudut kesihatan, sudut agama, status jualan dalam negara, dan lain-lain. Saya sendiri berkawan dengan beberapa orang pengguna rokok elektronik ini atau yang sekarang popular dengan nama vape. Setakat ni tiada masalahpun berkawan dengan vapers ni.

Tetapi sejak akhir-akhir ini, hangat isu vape diceritakan di facebook. Paling hangat sebaik sahaja Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa pengharaman vapeDr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan dalam Irsyad fatwanya pun menyatakan pendirian yang sama iaitu hukum menghisap rokok elektronik atau vape ini haram. Ramai vapers tidak bersetuju. Tidak kurang juga yang melenting.


Kalau tidak bersetuju sahajapun sudah satu masalah. Macam isu rokok, ramai juga yang tidak bersetuju dengan pengharamannya lalu terus merokok tanpa niat untuk berhenti. Tetapi isu vape ini lebih membimbangkan apabila ada sebahagian vapers yang tanpa segan silu menuduh mufti sengaja berfatwa demikian atas tujuan membela kerajaan. Kononnya fatwa haram vape dikeluarkan kerana penjualannya tidak dikenakan cukai. AstaghfirUllah.

Kawan-kawan vapers sekalian,
fatwa yang dikeluarkan ini untuk pengetahuan kalian, bukanlah disebabkan tiada cukai. Kalau disebabkan cukai, rokok sepatutnya sudah lama diwartakan sebagai halal di Malaysia, tetapi realitinya bagaimana? Rokok dikenakan cukai. Cukai hasil jualan rokok antara sumber ekonomi Malaysia. Tetapi mufti tidak pernah menarik balik hukum pengharaman rokok. Rokok masih haram. Cukai masih dikutip.

Vape diharamkan bukan atas alasan cukai. Kawan-kawan semua boleh baca kenyataan mufti berkaitan isu ini. Isu utamanya masalah kesihatan dan pembaziran. Sama macam rokok. [Baca sini]

Saya tidak tahu samada vape lebih baik dari rokok ataupun tidak. Tapi bagi kawan-kawan yang memang sudah sedia ada merokok, saya tidak kisahpun kalau kalian kurangkan merokok atau beralih kepada vape sebagai usaha untuk berhenti merokok. Niat ingin berubah itu sudah cukup baik. Biar dari rokok pindah ke vape lalu lama kelamaan berhenti terus. Moga Allah mudahkan usaha kalian.

Tapi untuk kawan-kawan yang tidak pernah merokok, tiba-tiba anda vape atas alasan vape tidak berbahaya terhadap kesihatan, tolonglah berhenti segera sebelum kalian ketagih dengan vape. Kalau ada yang mengatakan vape lebih baik dari rokok, itu mungkin ada benarnya (kita tunggu hasil kajian KKM dua bulan lagi). Tapi bagi yang mengatakan vape langsung tidak berbahaya, anda tersilap. Vape juga mengandungi nikotin (dan beberapa kandungan lain), cuma kuantitinya berbeza antara satu perisa dengan yang lain. 



Masalah kesihatan satu hal, masalah pembaziran pun ada juga. Sebab itu saya katakan tadi, kalau kawan-kawan yang merokok berpindah kepada vape, saya tidak rasa terkilan sangat tetapi kalau dari tidak merokok tiba-tiba vape, hentikanlah segera sebelum anda betul-betul ketagih. RM 40 yang digunakan untuk beli perisa setiap dua minggu sekali lebih baik digunakan untuk beli beras, gula, garam serta barangan dapur yang lain. Lebih bermanfaat berbanding jika digunakan untuk beli perisa wap air tadi.

Semoga kalian yang berusaha untuk berhenti dimudahkan urusan oleh Allah. Semoga kalian yang baru hisap vape sempat berhenti sebelum betul-betul ketagih. 

Sekian.

Adli Rosdi,
Maulana foodcourt Taman Sri Serdang,
19/8/2015.

No comments:

Post a Comment