Kadang-kadang kita tak sangka jasa kecil yang kita sumbangkan, yang tidak keluar peluh tidak penat tidak lelah apa langsung, namun mampu memberi impak yang besar pada orang lain. Pernah dengar mithqala zarrah (مثقال ذرة)? Dalam Al-Quran ada disebut dalam Surah Al-Zalzalah ayat ketujuh dan kelapan, bahawa sekecil mana sekalipun amalan kita, baik atau buruk, semuanya akan diperlihatkan di akhirat kelak. Tapi betulkah sekecil-kecil perkara pun dikira?
Kalau nak fikir tentang perkara ghaib, tentang dosa pahala, memang tak tercapai dek akal. Tapi kalau kita kiaskan pada perkara yang tercapai dek pancaindera, mungkin sedikit sebanyak mampu memudahkan pemahaman kita tentang perkara ini. Alhamdulillah, baru-baru ini saya direzekikan untuk menang sebuah pertandingan. Menang bukan biasa-biasa, menang hadiah utama! Alhamdulillah, segala puji dan syukur buat Tuhan semesta alam.
MENANG SUKA
Pertandingan ini dianjurkan oleh Farmasi Marmin, sebuah syarikat farmasi yang mempunyai beberapa buah cawangan di Pahang dan Kelantan. Pertandingannya mudah. Siapa yang gambarnya mendapat paling banyak sukaan dan sebaran (baca: like dan share), maka dialah johan. Johan, hadiahnya sebuah HDTV 32". Sebelum masuk pertandingan, saya tidaklah begitu teruja untuk menang tv tersebut. Tapi lepas diumumkan bahawa sayalah pemenangnya, perasaan tersebut berubah.
Betulkah saya menang tv? Dapat tv sebab banyak suka? Kaya sangat farmasi kalau sanggup beri tv hanya kerana tanda suka. Rasa tidak percaya pula apabila sehebat itu nilai sebuah tanda suka.
Paling tak percaya, apabila dilihat semula siapa yang telah menyukai gambar saya itu, hampir separuh daripadanya tidak saya kenali. Saya tak kenal dia, dia tak kenal saya, tapi disebabkan dia suka gambar saya, saya dapat TV baru. MasyaaAllah! Uniknya aturan Allah. Entah-entah, orang yang suka gambar saya tidak tahupun yang saya sudah menang TV tersebut.
BAKTI RINGKAS
Minggu lepas saya baru tamat program Ta'aruf bersama para pelajar. Antara yang dipesan dalam program tersebut, saya mengingatkan para pelajar agar jangan lupa untuk terus melakukan kebaikan-kebaikan kecil setiap hari. Buang sampah masuk ke dalam tongnya, tutup suis selepas digunakan, rapatkan kerusi setelah bangkit, dan macam-macam lagi kebaikan-kebaikan yang kecil yang ringkas tapi ramai manusia melupakannya pada hari ini. Bakti ringkas ini, kalau dikira kita sahaja, mungkin tiada kesan. Tapi kalau semua orang dalam kelompok masyarakat kita melakukannya, impaknya pasti terzahir.
Apa yang dipesan itu merupakan bakti ringkas secara fizikal. Alhamdulillah, minggu ini saya direzekikan pula untuk mendapat manfaat dari bakti ringkas secara maya. Mendapat manfaat dari jumlah suka pada gambar. Sesuatu yang tidak disangka-sangka. Alhamdulillah. Bakti ringkas ini, samada secara fizikal ataupun maya, kedua-duanya dapat kita kecapi dengan pancaindera. Cuba bayangkan pula bagaimana agaknya bakti ataupun amalan ringkas kita akan dibalas di akhirat kelak?
كَلِمَتَانِ خَفِيفَتَانِ عَلَى اللِّسَانِ، ثَقِيلَتَانِ فِي الْمِيزَانِ، حَبِيبَتَانِ إِلَى الرَّحْمَنِ:
سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ،
سُبْحَانَ اللَّهِ الْعَظِيمِ.
Kalau berfikir dari neraca logik, pasti sukar untuk difahami betapa kalimah SubhanAllahi wabihamdiHi SubhanAllahil Azim mampu menjadi 'berat' di timbangan mizan. Namun jika kita yakin bahawa Allah Maha Kaya, pastinya kita sedar bahawa tidak susah bagi Allah untuk melakukannya kerana dialah Al-Ghaniy, Yang Maha Kaya.
No comments:
Post a Comment