Kosong
Rasa nak menangis harini.
Sudah 10 minit azan berkumandang namun tiada jemaah yang hadir. Kosong!
Lalu kelihatan muazzin solat sendirian. Saya yang datang agak lewat bersama seorang lagi jemaah lain masuk masbuq pada rakaat ketiga.
"Haha... Adli masbuq sokmo"
Mungkin ada yang tertawa sinis kalau tahu Adli pergi solat berjemaah. Yalah, penyakit apa entah sampai payah betul nak dapat muwafiq. Tapi takpelah, orang nak ketawa, biarkan ketawa. Itu bukan isunya di sini
Fardhu Kifayah
Ramai yang tahu dan sudah belajar dari kecil dulu bahawa hukum solat berjemaah ni fardhu kifayah. Kalau tak silap ini silibus Pengajian Islam darjah tiga. Tapi sayang, bila ramai yang tahu hukumnya fardhu kifayah, mereka faham 'kifayah' sahaja lalu meninggalkan yang 'fardhu' tersebut.
Ada yang berseloroh "fardhu kifayah, sorang buat yang lain tak payah".
Mujur kalau ada yang buat. Kalau tiada langsung macam Asar tadi macam mana?
Asar tadi saya sekadar menyinggah di masjid tersebut memandangkan azan baru sahaja berkumandang. Saya berkira-kira, sempat lagi ni masuk kalau muwafiq Alhamdulillah, kalau masbuq pun, Alhamdulillah. Yang penting dapat berjemaah.
Tapi yang terkejutnya bila langsung tiada jemaah!
Yang ada hanya tok bilal (saya kenal beliau) yang solat sendirian. Mana yang lain?
Mana Ahli Jawatankuasa (AJK)?
AJK Masjid
Dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kehadiran ke masjid dan surau banyak menjadi isu.
Sedikit, memang biasa dah.
Kalau ramai, takut kena saman.
Ditelan mati mak, diluah mati bapak. Serba serbi tak kena.
Walau apa pun, sebagai Muslim yang bertanggungjawab, saya rasa tak salah untuk kita sentiasa 'menjenguk' masjid atau surau setiap waktu. Kalau dah penuh, balik. Kalau belum, masuk. Itu sahaja sifirnya.
Di Pahang sekarang, formula yang digunakan adalah 4+8 = 12
4 AJK, 8 jemaah setempat menjadikan jumlah jemaah 12 orang yang dibenarkan.
Tapi persoalannya, dalam setiap waktu, siapa yang nak jadi 12 orang istimewa tersebut?
Ada yang bermudah-mudah kata
"Malas aku. AJK saja dah penuh masjid tu. Bukan nak bagi ke orang lain"
Kalau difahami semula formula 4+8 di atas, dan diamati pula dengan ilmu nisbah (silibus matematik darjah lima kalau tak silap), kita akan terus faham bahawa tanggungjawab jemaah adalah lebih besar berbanding AJK.
8 : 4
2 : 1
Dua lebih besar dari satu.
Mudah.
Tak perlu tuding jari pada sesiapa, cukup kita yang bertindak sebagai Muslim yang bertanggungjawab. Apabila tiba waktu solat, bergeraklah segera ke masjid. Usah bertangguh. Usah terpengaruh dengan kesan penonton lalu menjadi 'penyumbang' kepada kekosongan jemaah di masjid.
Kesan penonton
Dalam sosiopsikologi, ada istilah yang disebut sebagai 'diffusion of responsibility'. Penyesaran tugas. Ada tugas yang perlu dilakukan, tapi disebabkan kita tahu semua orang boleh menanggung/tidak menanggung tanggungjawab yang sama, maka semua orang memilih untuk tidak menanggung.
Kerana beranggapan orang lain yang akan menanggung, lalu dia terlepas.
Samalah isunya macam fardhu kifayah ini. Orang ramai wajib menggalas tanggungjawab melaksanakannya. Namun jika sudah ada yang buat, yang lain terlepas. Akibatnya, semua orang berharap orang lain yang melakukannya. Yang terjadi, semua orang tak buat. Habis semua.
Janganlah begitu wahai saudara-saudara sekalian. Hidup di dunia ni jangan sekadar menjadi penonton. Ada masa kita tidak mampu, tidak mengapa. Namun leeeeeeebih banyak lagi masa yang kita ada untuk kita menggalas tanggungjawab fardhu kifayah ini. Ayuhlah tanggung bersama.
Jangan ingat "orang dekat jelah yang pergi".
Hakikatnya, orang yang rumah depan surau pun belum tentu pergi berjemaah.
Jangan ingat "biar orang pencen jelah yang pergi".
Realitinya, orang pencen sibuk tengok drama di rumah.
Jangan ingat itu ingat ini. Usah diingat orang lain apabila tiba waktu solat.
Kitalah!
Kitalah yang Muslim ini perlu bertindak. Ambil wudhu', pakai sebaiknya, terus bergerak ke masjid. Galas tanggungjawab, laksanan fardhu kifayah yang fardhu atas setiap orang ini.
Kita mampu mengubahnya.
Ayuh.
No comments:
Post a Comment