Wednesday, June 9, 2021

PANDAI SENDIRI

Jual tupperware

Isteri saya agen tupperware. Biasalah setiap bulan iklankan katalog tupperware untuk tatapan peminat bekas makanan ni. Sampailah satu hari, ada seorang makcik ni mesej, tanya tentang tupperware. Kami pun pergilah ke rumahnya alang-alang tidak berapa jauh dari rumah kami. Sampai di rumahnya, sedang berborak dan bertanya khabar, tiba-tiba cucunya datang dengan telefon di tangan. Main game ke tengok youtube ke, tak pastilah. Si nenek lalu bertanya

"Amin, dah solat?"

Amin (bukan nama sebenar) menjawab

"not yet nenek."

Lalu nenek membalas

"Dah2. Faster go to solat"

Sengaja bersifat ramah, saya lantas bertanya kepada makcik tersebut

"Mak ayahnya cakap inggeris ya dengan Amin ni?"

Makcik tu jawab

"Taklah. Mak ayahnya cakap Bahasa Melayu je. Kami di rumah ni semua cakap Bahasa Melayu. Cucu ni tiba-tiba je pandai sendiri bahasa inggeris. Hihi... Tak tahulah mari mana bahasa tu".

Balas makcik tadi spontan. Tak tahu kenapa, tapi saya rasa tawa ringkasnya itu menunjukkan beliau seronok cucunya 'pandai sendiri'. Pandai speaking pula tu. 


Bukan tiba-tiba

Sebenarnya, kemahiran bahasa anak-anak ini tidak datang tiba-tiba. Bahasa ini suatu kemahiran yang dilentur, dididik dan diasuh. Mustahil untuk seseorang itu berbahasa dengan suatu bahasa yang belum pernah didengarinya sebelum ini. Bahkan dalam suatu rumpun bahasa, mustahil untuk seseorang menggunakan bahasa loghat yang lain yang belum pernah dia dengari, walaupun loghat tersebut dalam rumpun bahasanya sendiri. 

Pernah dengar orang Kelantan tiba-tiba boleh cakap Kedah?

Pernah dengar orang Perak tiba-tiba boleh cakap Terengganu?

Pernah dengar orang Selangor tiba-tiba boleh cakap Bahasa Melayu Sabah?

Tak pernah kan?

Memang mustahil pun!

Macam si Amin tadi, dia boleh bertutur dalam bahasa inggeris 'tiba-tiba'. Macam mana boleh tiba-tiba?




Saya cuba untuk tidak berprasangka lebih, cuma berdasarkan pengalaman peribadi, kita boleh kata yang Amin telah terdedah dengan telefon terlampau lama. TERLAMPAU LAMA sampai dia mampu berbicara dengan bahasa yang didengarinya dalam telefon tersebut. Telahan awal saya, youtube. 

Menonton youtube sampai mampu berbicara dalam bahasa inggeris, agak baik sepatutnya. Saya tak nafikan perkara tersebut. Tapi kalaulah dibiarkan terus menonton tanpa pantauan ibu bapa, saya tak rasa itu suatu perkara yang wajar dibiarkan.

Keterdedahan anak terhadap peranti sudah banyak dibincangkan di pelbagai peringkat, khususnya di peringkat pendidikan awal kanak-kanak. Natijahnya, perkara tersebut sangat perlu dijauhi dan dielakkan. Bukan nak kata tak boleh, cuma perlu dipantau. Segala perubahan anak (atau 'ketidakperubahan' anak) perlu disedari ibu bapa. Bukannya dibiarkan sahaja, lalu seronok bila anak-anak berubah secara 'tiba-tiba'.

Bercakap depan cemin

Saya sedang menaip artikel ringkas ini di hadapan skrin laptop. Perumpamaan yang pernah diberikan oleh sahabat saya di sekolah dulu

"Bercakap depan cermin ke tu?"

Ketika saya menulis memberi peringatan untuk orang lain, hakikatnya peringatan ini sampai pada diri saya dahulu. Peringatan supaya sentiasa memerhatikan anak-anak dan perkembangan mereka. 

Nasihat ini bukanlah untuk ibu bapa semata-mata. Bahkan kepada yang masih belum mempunyai anak, ataupun yang belum berkahwin pun, masih boleh simpan pesanan ini untuk dijadikan panduan. Mungkin ketika menjaga anak saudara, anak buah, atau mana-mana anak kecil yang ada dalam keluarga. Perhatikanlah dan berikanlah perhatian kepada mereka. Jangan dek kesibukan kita untuk 'hidup' di dunia maya, kita abaikan permata-permata indah ini yang dalam usaha terbaiknya untuk bersinar. 





No comments:

Post a Comment