Monday, June 7, 2021

SAYA YANG MENURUT PERINTAH

Bila kuku dah panjang, kita potong. Sampai terputus kuku tu dari tempat asalnya. Terpelanting ke bawah lalu disapu pergi atau dibiar tidak terusik. Kejam tak?


Kejam tak jika kita melihatnya dari perspektif sebelah tangan yang memegang pengepit kuku lalu dipotong kuku di tangan yang sebelah lagi? Kalau dibuat karangan autobiografi 'aku kuku terpenggal' atau dimainkan unsur personafikasi dalamnya, pasti nampak kejam bukan? Walhal itulan ketetapan normal yang menjadi aturan alam ini.

Begitulah dunia. Ada peraturan yang telah ditetapkan Allah untuk kita ikut dan patuh. Samada suka atau tidak, terpaksa atau rela, kalau itu peraturannya, itulah juga yang akan berlaku.

Potong kuku ni perkara biasa. Urusan mingguan (bagi yang potong setiap minggulah). Mungkin tak rasa apa-apa bila kita bagi analogi potong kuku. Apa kata kita rujuk pula surah Yasin ayat 65:

"Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan."

Bila difikirkan kaki dan tangan yang menjadi peneman sepanjang hidup kita, lalu di akhirat nanti akan belot (kalau kita buat maksiat) terhadap kita 'tuannya' sendiri, pasti nampak macam mustahil. Namun itulah peraturan Allah. Bahkan kaki dan tangan ini di dunia ini sekadar pinjaman buat kita. Hakikatnya Allah yang punya. Di akhirat nanti, apabila Allah arahkannya, pasti akan ia patuh. Kita tidak punya apa-apa.




Sama macam konteks potong kuku tadi. Di dunia ini, kedua-dua tangan ini 'milik' kita. Bebaslah kita nak buat apa pun. Tangan akan ikut apa yang kita 'perintahkan' tanpa banyak soal. Nak potong kuku ke, nak tolong orang ke, nak buat maksiat ke, itu semua terserah pada kita. Pilihan bertindak itu milik kita. Kita boleh arah tangan yang kita pinjam ini untuk lakukan apa sahaja yang kita inginkan. Walaupun pilihan bertindak itu milik kita, namun ingatlah kebenaran tindakan itu milik Allah. Setiap tindakan kita itu dihukum benar atau salah mengikut apa yang Allah telah tetapkan. Maka, pilihlah tindakan yang sebaiknya. Moga segala apa yang kita lakukan di dunia ini akan membawa manfaat buat kita di akhirat kelak insyaaAllah.




No comments:

Post a Comment