Friday, October 2, 2015

Kedua

Pernah dengar orang kata anak kedua ni kebanyakannya rebel?

Ada yang setuju, ada yang tidak. Tapi kalau tanya saya, saya setuju. Sebab saya pun anak kedua dan saya sedar ada sedikit sikap rebellious dalam diri saya. Bahkan beberapa orang kenalan saya yang merupakan anak kedua apabila ditanya tentang kenyataan ini, mereka setuju. Bila disebut rebel, walaupun biasanya difahami sebagai jahat, namun bukan semuanya begitu. Rebel ni kalau dijaga dengan betul, boleh menjadi satu sikap yang bawa banyak kebaikan. 


APA ITU REBEL?

Penat saya menaip satu perenggan di atas tentang anak kedua rebel, rupa-rupanya masih ada yang belum faham maksud rebel tu apa. Rebel ini merupakan satu kata nama (noun) yang berasal dari Bahasa Inggeris maksudnya pemberontak. Kata sifatnya(adjective) rebellious iaitu berontak. Berontak itu apa? Kalau kita rujuk kamus dewan edisi keempat berontak antara lainnya bermaksud 'menunjukkan kemarahan atau penentangan terhadap sesuatu perkara'.

Jadi, bila orang kata anak kedua ni rebel, maksudnya anak kedua ni suka marah dan menentang. Tang mana baiknya?

Macam yang saya sebutkan di atas, perkataan rebel biasanya membawa konotasi negatif, tapi tidak semua begitu. Andai kata sifat rebellious ini dipupuk dan dipandu dengan baik, ada manfaat boleh terhasil daripadanya. 

Sikap memberontak ini akan jadi negatif apabila ia ditonjolkan dalam semua perkara. Kita ambil contoh anak kecil. Contoh mudahnya apabila disuruh makan sayur, dia memberontak. Disuruh masuk tidur awal, dia memberontak. Disuruh hormat orang pun, dia memberontak. Kalau semua perkara hendak dibantah dilawan, tak eloklah. 

Tapi kalau sikap memberontak ditunjukkan pada situasi yang sepatutnya, contohnya apabila orang yang tidak dikenali mengajaknya masuk ke dalam van secara tiba-tiba lalu si anak memberontak. Atau ketika dia dibuli di sekolah dia melawan membela diri, baguslah. 


KHURAFAT VS PSIKOLOGI

Saya pernah menyebutkan perkara yang sama pada seorang kawan yang juga merupakan anak kedua. Saya katakan bahawa anak kedua kebanyakannya bersikap memberontak. Lalu dia persoalkan semula:

"Bukan mende ni khurafat ke? Percaya pada ramalan sikap berpandukan tarikh lahir, turutan kelahiran, atau bintang-bintang?" 

Pada saya tidak. Khurafat ini maksud mudahnya ialah kepercayaan karut-marut. Tapi dalam ramalan sikap ini, ia bukan karut, ia psikologi. Seorang anak menunjukkan perangai memberontak bukan kerana dia dilahirkan sebagai anak kedua. Tapi disebabkan dia lahir dan dididik sebagai anak kedua, sebab itulah dia memberontak. Kena bezakan mana datang dulu; sikap atau turutan kelahiran? Atau didikan?

Apabila dikatakan anak kedua rebel, bukan bermaksud dia lahir terus jadi rebel. Begitu juga apabila dikatakan anak pertama dikatakan mempunyai sifat kepimpinan ataupun anak terakhir bersifat manja. Bukanlah lahir-lahir terus ada perangai sebegitu, tetapi hasil didikan akibat dari turutan kelahirannya itulah yang menyebabkan personaliti anak terbentuk sedemikian rupa.

Bayangkan anak pertama, lahir dari pasangan yang belum berpengalaman, lalu dididik dengan sangat berhati-hati. Pakaian dan permainannya semua serba baru, perhatian diberikan sepenuhnya. Maka terhasillah personalitinya yang tertentu. 

Bayangkan pula anak kedua, lahir dari pasangan yang sudah berpengalaman beranak satu, lalu dididik juga dengan berhati-hati, tapi tidak seperti yang pertama. Pakaian dan permainannya baru, tapi bukan semua. Perhatian pula dibahagi dua. Maka terhasillah personalitinya yang tertentu.

Bayangkan pula anak bongsu, lahir dari pasangan yang sudah berpenglaman, lalu dididik dengan lebih santai. Tapi disebabkan kedudukannya yang bongsu, dia diberi lebih kasih sayang. Maka terhasillah personalitinya yang tertentu.

Anak ketiga, keempat, kelima, dan seterusnya sehingga sebelum bongsu biasanya menunjukkan personaliti yang berbeza namun sukar dikelaskan. Setakat bacaan saya dan borak-borak dengan orang tua, tidak banyak perbincangan teliti tentang turutan anak selain pertama, kedua, dan terakhir. Kalau adapun, pembahagian anak mengikut unsur tanah, air, api dan angin. Tapi pembahagian mengikut unsur ini terlalu umum. Unsur air contohnya, kadang-kadang dikaitkan dengan ombak laut (tidak menentu), arus sungai (tenang), air terjun (deras), dan macam-macam lagi.  

Nak percaya boleh, tapi perlu diingat bukan semuanya tepat. 


DI MAGHRIBI 

Bagi pembaca yang pernah membaca artikel teknik-teknik bergaduh, kalian mesti perasan teknik bergaduh yang keempat saya letakkan sebagai 'lari dari rumah'. Untuk pengetahuan kalian, ia ada kaitan juga dengan anak kedua. Penerangan ada di bawah.

Di Maghribi, kami pelajar-pelajar di sana bernaung di bawah satu persatuan induk iaitu Persatuan Mahasiswa Malaysia di Maghribi (PMMM)


Logo PMMM

Saya tidak tahu di negara lain macam mana, tetapi setakat yang saya perasan ketika tahun akhir saya di Maghribi dulu, kebanyakan ahli PMMM merupakan anak kedua. Kawan sekohort, adik-adik junior, boleh kata kebanyakannya anak kedua. Geng angah bak kata orang. Boleh tahan ramai jugaklah anak kedua yang larikan diri dari rumah dan datang ke Maghribi nampaknya. 

Nak kata ramai sangat sampai lebih daripada 2/3 bilangan ahli PMMM tu tidaklah. Tapi andai kata semua 'angah' ni berkumpul dan tubuhkan Pakatan Angah di Maghribi (PAM), boleh tercabar PMMM rasanya. 




Baca juga: 
http://www.parents.com/baby/development/social/birth-order-and-personality/
https://www.earlychildhoodnews.com/earlychildhood/article_view.aspx?ArticleID=664

No comments:

Post a Comment