Friday, July 15, 2016

Tadarus vs. Shadow fight

Perfect

Malam itu, seperti malam-malam biasa bulan Ramadhan, kami bertadarus beramai-ramai. Saya bertukar kumpulan hari ini. Kalau malam-malam biasa saya bersama pakcik-pakcik, tapi disebabkan semalam kumpulan tadarus veteran tersebut sudah khatam 30 juzuk, maka saya berpindah ke kumpulan tadarus remaja. Pakcik-pakcik veteran masih lagi meneruskan tadarus. Mereka mulakan semula bacaan dari juzuk satu. Rajin sungguh mereka.

Masalah yang berlaku tidak jauh berbeza samada dalam kalangan dewasa ataupun remaja. Masih ada yang bacaannya gagap, masih ada yang berulang kali tersalah huruf, dan macam-macam masalah lain. Disebabkan itulah perlunya beberapa orang yang agak berkebolehan memerhati bacaan setiap kumpulan tadarus supaya kesalahan bacaan dapat dikurangkan. Tambah-tambah lagi apabila terjumpa bacaan istimewa seperti imalah, isymam, tashil dan sebagainya.   *Rujuk nota di hujung artikel.

Malam itu, sedang kami memerhati bacaan salah seorang peserta tadarus, saya terpandang Leman(bukan nama sebenar) menunduk sambil bermain sesuatu di telefon pintarnya. Ketika itu bukan gilirannya membaca Al-Quran.

Leman: Yes!
Saya: Apa yang yes?
Leman: Perfect ustaz.
Saya: Perfect apa?
Leman: Ni haa, saya main shadow fight. Nyawa perfect. Power!
Saya: Kalau baca Al-Quran perfect lagi bagus.

Leman tersengih mendengar jawapan saya lalu terdiam sebentar. Selang beberapa ayat Al-Quran dibacakan oleh rakannya, Leman merapati saya lalu berbisik.

Leman: Pedas ayat ustaz tadi.
Saya: Haa... tahu pun. 

Memang sengaja saya bagi jawapan pedas begitu. Leman sebenarnya bukanlah teruk sangat ketika membaca Al-Quran, tetapi bacaan Leman biasanya ada sahaja yang salah. Dengan bacaannya yang sebegitu, boleh pula dia curi masa bermain permainan di telefon pintar ketika tadarus sedang berlangsung. Tidak kena tempat. Lalu terpaksalah saya menegur supaya dia lebih beradab dengan Al-Quran dan supaya dalam masa yang sama dia sedar kelemahan dirinya dalam bacaan Al-Quran. 


Tak perfect

Beberapa malam berikutnya, saya masuk lagi kumpulan tadarus remaja. Alhamdulillah, Leman masih datang tadarus seperti biasa. Saya risau dia terasa dan merajuk dengan ayat pedas saya lalu tidak datang bertadarus lagi. Alhamdulillah, untuk beberapa giliran terawal Leman nampak fokus. Tetapi dalam beberapa giliran seterusnya Leman mula bermain permainan shadow fight di telefon pintar. Saya memerhatikan sahaja.


Aplikasi shadow fight 2 di telefon pintar

Apabila Leman ternampak saya memerhatikan dia bermain, dia sengih tanpa rasa bersalah lalu merapati saya sambil berbisik.

Leman: Tak perfect ustaz. Hehe...

Lalu Leman teruskan bermain.

Saya terkedu. Tidak tahu ingin memberikan reaksi yang bagaimana. Saya terkejut mendengar bisikan Leman yang menunjukkan betapa dia tidak faham dengan apa yang saya maksudkan dalam teguran beberapa malam sebelumnya. Apabila saya membandingkan perfect dalam permainan dengan perfect dalam bacaan Al-Quran, yang saya maksudkan ialah lebih baik bacaan dibaca sampai perfect. Tetapi nampaknya Leman faham teguran tersebut dengan kefahaman yang berbeza. Dia seakan-akan faham kalau tidak perfect, maka boleh bermain seperti biasa. Aduh!


Salah faham

Salah faham memang perkara yang biasa berlaku dalam komunikasi. Kadang-kadang salah faham terjadi disebabkan salah nada percakapan, tidak kena situasi, beza tahap pemikiran dan macam-macam faktor lagi. Perbualan saya dengan Leman malam itu saya andaikan sebagai beza tahap pemikiran antara saya dengan Leman. Biarlah. Bak kata Jack Ma, masa muda inilah masa untuk melakukan kesalahan. Nanti perlahan-perlahan, setelah dia membesar, dia akan sedar kesalahan yang dilakukan itu. Tapi dengan syarat, perlu ada yang membimbing. Kalau dibiarkan sahaja, bukan sahaja kesalahan tersebut tidak disedari sebagai kesalahan, bahkan lebih teruk lagi jika kesalahan itu dianggap sebagai betul dan boleh dilakukan. 

Saya bercerita kepada abang saya tentang perbualan saya dengan Leman malam tersebut. Lalu abang saya bertanya:

Abang: Ini cerita betul ke?
Saya: Betullah. Kisah benar ni.
Abang: Tapi takpelah, kita faham memang budak-budak perangainya macam tu. Kalau orang tua, payahlah.
Saya: Haah.

Saya mengiyakan kata-kata abang saya. Memang benar pun apa yang disebutkan. Budak-budak, memang mereka suka bermain. Kita yang dewasa ini tegurlah setakat yang sepatutnya. Yang penting, teguran perlu rasional supaya mereka faham setiap teguran yang disampaikan itu ada asasnya.

Tentang ini, saya teringat syair Arab lama ada menyebut perkara yang sama. Zuhayr bin Abi Sulma dalam muallaqatnya pernah menyebut:


ُوَإِنَّ سَفَاهَ الشَّيخِ لا حِلْمَ بَعْده
ِوَإِنّ الفَتَى بَعدَ السَّفَاهَةِ يَحْلُم
(Rujuk sinim/s 208)

Terjemahan:
Kebodohan orang tua itu tiada harapan selepasnya (takdok aroh dah...)
Adapun orang muda, selepas bodoh itulah dia belajar (mengambil pengajaran)

Syair di atas tidak menghalalkan segala perbuatan salah anak muda. Tetapi ia menjadi motivasi buat anak muda bahawa kalaupun dia sudah melakukan kesalahan, kesalahan itu boleh dijadikan pengajaran buat hidupnya yang mendatang. Namun hakikatnya, yang salah tetap salah. Kalau kesalahan itu memerlukan dia meminta maaf, maka perlu minta maaf. Kalau kesalahan yang dilakukan memerlukan dia membayar ganti rugi, maka perlu bayar ganti rugi. Cuma, anak muda harus sedar bahawa kehidupan ini masih panjang dan kesalahan yang dilakukan tidak wajar diulang semula. 




Nota:

*Imalah bermaksud memiringkan sebutan fathah menghala kepada sebutan kasrah pada kadar yang banyak. Sebutan ini boleh disamakan dalam Bahasa Melayu seperti menyebut sukukata RE pada perkataan REHAL. Sebutan ini juga dikenali dengan Imalah Kubra.

*Isymam bermaksud memuncungkan dua bibir sebaik sahaja mensukunkan huruf itu dan memastikan adanya ruang kecil antara kedua-dua bibir untuk melepaskan nafas tanpa mengeluarkan suara.

*Tashil bermaksud menyebut hamzah dengan sebutan di antara hamzah dan alif, sebutan itu tidak menjadi hamzah sepenuhnya dan tidak juga menjadi sebutan alif sepenuhnya. Sebutan ini ialah seperti menggabungkan dua sebutan, iaitu sebutan أَ (A) dan ئَا (Aa). Gabungan kedua-dua sebutan ini dibuat sekaligus, tidak terhenti-henti antara kedua-duanya dan tidak pula memanjangkannya.

Nota tambahan: Sila rujuk guru tajwid yang benar untuk mempelajari bacaan-bacaan istimewa di atas.

No comments:

Post a Comment