Monday, April 6, 2015

Lebih baik begini

Zaman teknologi, serba serbi laju. Kalau dulu orang-orang tua kita membidalkan 'mulut lepas' dengan maksud tidak menjaga tutur kata, dan 'cepat tangan' sebagai sikap suka mencuri, mungkin di zaman ini ada ubahsuai yang boleh difikirkan. Masakan tidak, dulu maklumat berpindah randah melalui perantaraan mulut, sehingga kadang-kadang ada yang terlepas cakap menyebabkan hati sebahagian yang lain terguris. Lalu kita sering diingatkan agar menjaga tutur kata supaya tidak secara tidak sengaja menyakitkan hati orang ramai ataupun supaya tidak mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya dikeluarkan. Hebat sungguh nenek moyang kita dalam memberi nasihat dalam kiasan. Cukup sekadar dua perkataan, 'mulut' dan 'lepas', sudah difahami maksudnya.



Cepat tangan

Cepat tangan pula sebagaimana maklum, merujuk kepada orang yang suka mencuri. Ada orang kata cepat tangan, ada orang kata panjang tangan. Tidak kisahlah yang mana satu, yang pasti, kedua-duanya merujuk kepada perbuatan suka mencuri. Sesuailah dengan situasi zaman dahulu yang tangan itu memang digunakan untuk tujuan-tujuan fizikal; mengangkat, menarik, mengambil, memegang, dan sebagainya. Tapi kini, zaman sudah berubah. Selain aktiviti fizikal, banyak kali juga tangan digunakan bagi menggantikan mulut dalam aktiviti-aktiviti penyampaian maklumat; melalui tulisan. Di zaman teknologi ini, ada ramai orang yang tangannya begitu cepat menyampaikan maklumat. Tidak sempat mulut bersuara, maklumat sudah tersebar ke serata dunia. Golongan inilah yang seringkali digelar sebagai keyboard warrior atau kadang-kadang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu sebagai panglima papan kekunci. Nama macam gah. Panglima. Warrior. Tetapi realitinya tidak. Kencang atas talian. Mereka inilah yang apabila timbul sesuatu isu, tanpa usul periksa terus menyebarkan apa-apa yang sepatutnya tidak disebarkan di laman sosial. Bahkan kalau tiada isu pun ada sahaja yang nak dijadikan isu. 

Contohnya, beberapa bulan lalu kita dihebohkan dengan isu remaja perempuan Islam dipeluk dicium oleh artis Korea. Macam mana diketahui yang dia Islam? Sudah tentulah kerana tudung yang menutup sebahagian auratnya yang zahir. Lalu apabila remaja perempuan bertudung dipeluk dicium oleh lelaki yang bukan mahram di atas pentas, bermacam-macam cacian dan kejian yang disemburkan pada mereka, tersembur-sembur sampai hilang punca. Terlalu ramai yang membuat ulasan, terlalu banyak komen diluah. Ada yang menegur penganjur kerana tidak faham sensitiviti, ada yang kata artis kpop agen yahudi, lagi teruk, ada yang kata "lebih baik buka tudung kalau nak berpeluk!".


Oppss, jangan cepat sangat tangan tu.

Sudah banyak kali berlaku satu perkara baik bercampur dengan satu perkara buruk, lalu orang cenderung untuk pilih yang buruk. Silaplah. Sepatutnya apabila yang baik bercampur yang buruk kita ambil yang baik, tinggalkan yang buruk. Jangan pilih yang buruk.

Situasi 1:
Siti, budak tahun pertama sebuah institusi pengajian. Tidak bertudung, tapi menjaga solat. Jadi, setiap kali solat, Siti, sebagaimana kebiasaan Melayu yang lain akan mula memakai telekung menutup aurat untuk menunaikan solat. Alhamdulillah, sikapnya itu boleh dipuji. Teruknya Siti kerana dia tidak menjaga aurat di luar solat, bagusnya dia kerana dia menjaga solat dan menjaga aurat di dalam solat. Lalu apabila tiba Ramadhan, Siti muatnaik gambar dia bertelekung untuk menunaikan solat tarawih, tiba-tiba ada yang komen:

"Ah kau, solat tapi tak pakai tudung kat luar, LEBIH BAIK TAK PAYAH SOLAT!"

Situasi 2:
Sameon, budak baru habis SPM. Rajin solat berjemaah di surau. Tapi satu perangai tidak elok yang dia amalkan ialah suka tukar selipar di surau. Dia ingat orang surau tu semua paklong pakngah dia gamoknye. Lalu setelah berminggu-minggu pakcik dan abang surau bengang, suatu hari, terkantoi. Ada seorang abang surau ternampak dia menyarung selipar bukan miliknya ketika hendak keluar dari surau. Dengan pantas, si abang tadi ambil gambar kemudian muatnaik di instagram. Tiba-tiba ada yang komen:

"Woi, kalau nak curi selipar, LEBIH BAIK TAK PAYAH DATANG SURAU!"


Gambar hiasan 


Bukan matematik

Ramai yang pernah belajar di peringkat PMR dulu apabila positif bertemu negatif menghasilkan negatif. Tapi cukuplah kita tinggalkan itu dalam ilmu matematik. Dalam kehidupan sebenar, tidak wajar untuk kita pilih yang negatif apabila positif bertemu negatif. Contohnya dalam situasi 1 tadi, Siti rajin bersolat, tetapi tidak menutup aurat. Yang perlu diperbaiki adalah sikapnya yang tidak tutup aurat itu. Cukuplah dia ditegur kerana tidak pakai tudung. Sindiran seperti "lebih baik tak solat", "sia-sia jek solat kau", "tak solat lagi bagus" dan sebagainya tidak perlu disebut. Begitu juga dalam situasi 2, Sameon rajin solat berjemaah di surau, bagus. Dia selalu tukar selipar, tidak bagus. Maka teguran sepatutnya difokuskan pada sikap negatif yang perlu dibaiki. Bukannya menidakkan sikap baiknya yang rajin solat berjemaah di surau. 

Positif bertemu negatif, buang yang negatif. Baik bertemu buruk, buang yang buruk. Yang baik? Kekalkan atau tambah baik. 

No comments:

Post a Comment