“KONTROVERSI!!! AIMAN AZLAN KAHWIN DI SIAM!”
“VIDEO TERGEMPAR!!! ANWAR KUTUK PAS!”
“HANGAT!!! JUSTIN BIEBER MASUK ISLAM!”
Selalu kita jumpa tajuk berita tergempar sebegini. Semua huruf
dibesarkan, tanda seru berganda, kemudian ditambah pula perkataan seperti
‘tergermpar’, ‘terhangat’, ‘terkini’ dan sebagainya. Lalu ramailah yang
terpengaruh. Tapi persoalannya, benarkah ia terjadi?
Zaman teknologi
Artikel ini ditulis pada tahun 2015. Alhamdulillah, teknologi
berkembang dan semakin canggih dari sehari ke sehari. Kalau 50 tahun dahulu
orang ramai menunggu berita dari akhbar-akhbar, radio-radio dan peti-peti
televisyen, kini, berita tersebar begitu pantas melalui telefon pintar
masing-masing melalui aplikasi yang berbagai-bagai. Pintar sungguh telefon itu.
Berita tersebar pantas itu bagus. Membuatkan kita sentiasa memperoleh
berita mutakhir. Tapi masalahnya, tak semua berita yang tersebar itu benar. Tidak
kiralah samada berita itu daripada facebook mahupun watsapp ataupun apa-apa
aplikasi sekalipun, kesahihan berita perlu diteliti terlebih dahulu.
Takut-takut nanti kita bertindak dengan tindakan yang salah yang kemudiannya
akan disesalkan di kemudian hari. Sebagai seorang muslim, panduan telah
diberikan secara khusus kepada kita dalam surah Al-Hujraat, ayat 6:
Wahai orang-orang yang beriman! Jika
seseorang yang fasik datang kepadamu membawa suatu berita, maka telitilah
kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana kebodohan, yang
akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu.
(Al-Hujraat: ayat 6)
Mungkin nanti ada yang marah saya,
“Apa kau anggap semua yang hantar berita di facebook/whatsapp itu
fasiq? Begitu?”
Sejujurnya, saya tidak tahu bagaimana untuk menjawab soalan sebegini.
Cukup saya katakan, saya tidak menghukum orang yang menyebarkan berita.
Cumanya, dalam setahun dua ini, telah terbukti bahawa melalui medium
laman-laman sosial, telah tersebar banyak fitnah dan penipuan. Jadi, sangat
wajar untuk kita berhati-hati. Lagipun, tidak susah sebenarnya bagi kita di era
siber ini untuk mengkaji kesahihan sesuatu berita. Di sini saya senaraikan tiga
cara mudah.
1) Rujukan silang
Ini teknik yang paling mudah. Sebenarnya, ini teknik ulangkaji
pelajaran di sekolah. Rujukan silang ini juga boleh difahami dengan
‘mempelbagaikan rujukan’. Kalau di sekolah dulu, kita ambil contoh mata
pelajaran Kimia, kita pening ‘K’ itu sebenarnya apa? Dalam kelas, cikgu selalu
cakap ‘K’ itu kalium. Tapi dalam buku tulis ‘K’ itu potassium, mana satu yang
betul? Biasanya buku tidak silap, tapi, adakah cikgu menipu? Ketika inilah kita
pelbagaikan rujukan. Baca lagi dan lagi. Pasti nanti dalam carian kita, kita
akan dapati yang kedua-duanya benar. ‘K’ itu disebut sebagai kalium dalam buku
rujukan berbahasa Melayu manakala ia dipanggil potassium dalam buku rujukan
berbahasa Inggeris. Jelas bukan?
Begitu juga sikap kita sepatutnya ketika membaca apa-apa berita di
laman sosial. Kadang-kadang kita dapati berita bercanggah. Kadang-kadang kita
dapati berita yang hampir tidak masuk akal. Bawa bersabar. Bertenang. Jangan
terlalu cepat percaya. Jangan juga terlalu cepat menuduh ini benar dan itu
salah. Kaji dahulu. Gunakan enjin carian
seperti google.com untuk cari rujukan lain. Silangkan setiap rujukan.
InsyaAllah, kita akan jumpa kebenaran sesuatu cerita. Kalau tidak jumpa juga,
usahlah disebarkan.
2) Terus kepada sumber
Berita tergempar kadang-kadang diperkukuh dengan sumber yang kononnya
asli. Contohnya: “NASA telah mengesahkan bahawa kumpulan kajian mereka ‘le
patella’ mendapati bahawa planet Jupiter akan jatuh ke bumi pada 12. 12. 2012”.
Tiba-tiba ramai yang gelabah tidak tentu pasal lalu menyebarkan berita ini
sebelum dipastikan kesahihannya. Kenapa perlu gelabah? Berita ini sudahpun
menyebut bahawa kenyataan ini dikeluarkan oleh pihak NASA. Jadi, pergilah
kepada sumber berita iaitu NASA. Buka laman sesawang NASA, cari tentang berita
planet Jupiter ataupun kumpulan kajian ‘le patella’. Silap-silap, NASA pun tidak pernah tahu
tentang ‘le patella’ ini.
Saya sengaja ambil contoh NASA. Tapi sebenarnya banyak lagi berita yang
menyatakan sumber yang kononnya asli walhal berita itu palsu. Kadang-kadang
dipetik nama pemegang kunci kaabah, Syed sekian sekian, kadang-kadang dipetik
nama Syarikat Bekalan Air Selangor(SYABAS), kadang-kadang dipetik entah nama
siapa entah lalu diberi gelaran Professor Mahkota Dunia dan sebagainya. Jangan
gelabah. Kaji dahulu.
Kita di Malaysia pernah suatu ketika dahulu disebarkan berita kononnya,
Ustaz Harun Din pernah menghalau jin lalu menyuruh jin-jin tersebut berpindah
dengan menaiki sebuah bas. Ramai yang percaya berita ini. Nasib baik ada yang
berani bertanya secara terus kepada ustaz Harun Din. Lalu jelaslah berita yang
selama ini tersebar hanyalah khabar angin yang tidak berasas.
3) Tarikh
Berkenaan tarikh, saya bahagikan
kepada dua: April fool, dan bukan April fool.
Bahagian pertama; April fool. Sebagaimana ramai orang tahu,
April fool disambut oleh sebahagian fools di dunia ini pada 1 April
setiap tahun. Jadi, berhati-hatilah dalam mempercayai berita yang disebarkan
pada tarikh ini. Lebih-lebih lagi berita yang datang dari negara-negara sebelah
barat seperti Amerika dan sekutu-sekutunya. Kadang-kadang diberitakan Jennifer
Lopez masuk Islam, Miley Cyrus bertudung dan sebagainya. Jangan terus percaya.
Bahagian kedua; bukan April fool. Walaupun bukan pada 1 April,
kita masih harus berhati-hati dalam menerima sesuatu berita. Contohnya dalam
PRU13 yang lalu, saya pernah ternampak seorang kenalan di facebook menyebarkan
video dari youtube yang mana dalam video itu seorang ahli ‘pakatan pembangkang’
bermatian-matian mengutuk parti Islam jumud dan sebagainya. Video jelas
menunjukkan gambar beliau. Sepatutnya tiada syak lagi tentang kesahihan video.
Tapi nanti dulu. Saya pilih untuk bersabar sebentar.
Saya pergi ke pautan asal video di youtube, lalu saya cari tarikh video
tersebut dimuatnaik. Rupa-rupanya, video itu telah dimuatnaik lebih 10 tahun
yang lepas. Tanpa tarikh muatnaik ataupun jika video itu baru dimuatnaik
sekalipun(video lama, baru dimuatnaik), keraguan masih timbul dalam diri saya
kerana raut wajah ahli ‘pakatan pembangkang’ dalam video tersebut nampak jauh
lebih muda dari raut wajahnya yang sekarang. Ditambah dengan tarikh muatnaik
video, maka bertambah yakinlah saya bahawa video itu tidak harus saya percayai.
Atau lebih tepat saya katakan video itu tidak relevan untuk ditonton kini.
Iktibar
Sengaja saya ambil contoh NASA, SYABAS, video politik dan sebagainya
kerana semua itu berkaitan pengalaman peribadi saya. Namun begitu,
teknik-teknik di atas masih boleh digunakan dalam pelbagai situasi bagi
menyemak kebenaran sesuatu berita yang sampai kepada kita. Tidak kiralah samada
berita berkaitan politik, agama, mahupun hiburan, setiap berita boleh diselidik
kesahihannya dengan tiga teknik ringkas yang saya nyatakan di atas. Semoga
dalam melalui zaman teknologi yang mencabar dan serba laju, kita tidak tersilap
mempercayai berita-berita palsu yang bukan sahaja tidak membantu menambah
kemajuan, bahkan boleh memundurkan lagi dengan berlakunya pergaduhan dan
perdebatan yang tidak berkesudahan. WAllahuA’lam.
Oleh:
Muhamad `Adli bin Ahmad Rosdi
wash-kain.blogspot.com
No comments:
Post a Comment