Alhamudlillah, belia kini semakin
ramai yang cintakan ilmu. Kalau sekitar sepuluh tahun dahulu, cukup susah untuk
terjumpa belia yang membaca sambil menunggu bas, tetapi kini, pemandangan
seperti ini tidak asing lagi di mata kita. Kadang-kadang kita jumpa belia yang
membaca sambil menunggu bas, ada yang membaca di dalam keretapi, ada yang
membaca sambil menunggu makanan dihidangkan oleh anne mamak dan ada
macam-macam lagi situasi menunggu yang dimanfaatkan oleh belia dengan aktiviti
membaca. Semoga Allah kurniakan kefahaman yang sebenar buat mereka.
Tidak cukup dengan membaca, belia
Malaysia kini semakin giat melibatkan diri dalam diskusi-diskusi ilmiah serta perbincangan-perbincangan yang bersifat
intelektual tanpa mengira masa dan tempat. Bagus. Inisiatif ini secara tidak
langsung mampu menggalakkan belia Malaysia lebih cintakan ilmu dan sentiasa
cakna dengan isu-isu semasa yang berlaku sekaligus mengasah kemahiran berfikir
secara kritis dan kreatif dalam kalangan belia.
Ada antaranya yang memilih untuk
berdiskusi di kedai mamak, ada yang memilih restoran masakan ala thai, ada yang
memilih untuk sekadar berdiskusi di tepi tasik, dan ada yang sehingga sanggup
menempah bilik berhawa dingin untuk mengadakan perbincangan ilmiah sesama
mereka. Paling hebat, jika tidak mampu untuk bertemu di alam nyata, ada yang
sanggup mengadakan diskusi ilmiah ini secara atas talian.
Namun begitu, dalam kita ghairah
mencari ilmu, tidak sepatutnya kita lupa akan beberapa asas penting dalam
menuntut ilmu. Benar, diskusi ilmiah yang diadakan bertujuan melahirkan
generasi akan datang yang lebih cemerlang. Betul, perbincangan intelektual yang
dilaksanakan bertujuan memupuk semangat cintakan ilmu dalam diri anak muda. Tetapi,
kalau terlampau ghairah sampai ‘terlompat’ beberapa langkah, kita risau
diskusi-diskusi ini tidak mampu menghasilkan natijah yang kita harapkan. Paling
teruk, diskusi-diskusi inilah yang bakal menjahanamkan lagi generasi semasa dan
generasi akan datang.
Atas kerisauan ini, dan harapan
ingin melihat Malaysia akan datang yang lebih gemilang, saya cadangkan beberapa
langkah asas yang sangat baik untuk diikuti di sepanjang perjalanan kita dalam
menuntut ilmu:
1) Kaji asas ilmu
Setiap ilmu ada peringkatnya.
Bukan bermaksud saya hadkan tahap pemikiran seseorang, tetapi
peringkat-peringkat ini wajar dipatuhi untuk mengelakkan salah faham dalam
menuntut ilmu. Tidak perlu cari jauh, cukup kita perhatikan tentang GST dan
Hudud di Malaysia. Berapa banyak perbincangan yang telah diadakan tentang dua
isu ini? Berapa banyak pula salah faham yang telah berlaku tentang kedua-duanya?
(Ketepikan sebentar tentang isu
politik, mari kita lihat kedua-dua isu ini secara neutral)
Salah faham yang berlaku
rata-ratanya disebabkan ramai yang ingin tunjuk pandai tentang sesuatu yang dia
sendiri tidak faham. Pernah dulu kita dikejutkan dengan komen seorang rakyat Malaysia
yang tidak bersetuju hudud dilaksanakan dan antara alasannya, “hukuman hudud
seperti sula tidak sesuai dilaksanakan
di zaman moden”. Sula? Sejak bila sula termasuk dalam hukuman hudud?
Begitu juga dengan GST.
Sebagaimana maklum, masyarakat Malaysia suka kongsi (baca: share), kicau (baca:
tweet) dan panjangkan (baca: forward) apa yang mereka dapati di laman sosial
seperti facebook, twitter, dan whatsapp tanpa meneliti terlebih dahulu.
Walaupun telah diuar-uarkan bahawa Goods & Services Tax (GST) akan
dilaksanakan pada 1 April 2015, berapa ramai antara kita yang terikut-ikut
menyebarkan gambar-gambar kononnya GST telah dilaksankan walhal tarikh
kuatkuasanya belum tiba. Bahkan ada yang bertindak kononnya ‘ilmiah’ dengan
menulis artikel mengutuk kerajaaan kerana pelaksanaan GST diawalkan. Walhal
gambar ‘GST’ yang tersebar itu bukannya bermaksud Goods & Services Tax
tetapi ia bermaksud Government Service Tax yang sememangnya telah lama wujud di
Malaysia.
Sebab itu saya katakan wajar
untuk kita kaji asas sesuatu ilmu sebelum berkecimpung dengan lebih mendalam.
Dalam bidang ilmu yang berbeza, perkataan yang sama kadang-kadang membawa
maksud yang berbeza. Tanpa asas, orang ramai boleh terkeliru sekaligus membawa
kepada salah faham yang tersebar luas. Contohnya dalam isu GST, akronim yang
sama membawa maksud berbeza. Bukan bermaksud jangan ikuti diskusi ilmiah selagi
belum mahir. Maksud saya, jika perbincangan dalam diskusi itu terlampau tinggi,
jangan malas untuk kaji semula selepas habis berdiskusi. Ataupun lebih baik,
kaji dulu sebelum hadir mendengar diskusi.
2) Dengar dari pelbagai pihak.
Perbincangan dalam diskusi
biasanya berfokus kepada kecenderungan pembentang. Saya tidak nafikan
kecenderungan ini wujud dalam diri setiap orang. Tapi sebagai pendengar, kita
seharusnya bijak untuk meletakkan sempadan pada setiap kecenderungan. Pendirian
kita harus diletakkan pada kebenaran ilmu dan realiti pelaksanaannya.
Kadang-kadang kita dengar pengalaman kumpulan kiri, dengan penerangan itu dan
ini, lalu selepas tamat diskusi, kita berkobar-kobar mengatakan kumpulan kanan
salah. Kadang-kadang kita dengar pula cerita kumpulan kanan, dengan hujah itu
dan ini, lalu setelah tamat diskusi, kita berkobar-kobar mengatakan kumpulan
kiri salah. Terlalu cepat membuat kesimpulan.
Saya tidak maksudkan pembentang
menipu. Tetapi sebagai pendengar, kita sendiri sepatutnya ada sempadan tertentu
dalam penentuan yang betul dan yang salah. Mendengar dari satu pihak dan
percaya bulat-bulat bukan sikap yang bijak. Jangan nanti apabila ditanya, “kenapa
kau sokong pendapat dia?”. Lalu kita jawab, “sebab dia cakap begitu.”
3) Pelajari bahasa asal teks.
Ramai anak muda begitu dahagakan
ilmu. Dahaga sehingga membuatkan bahan bacaan di Malaysia tidak cukup untuk
memuaskan mereka. Lalu mereka mencari dan terus mencari. Ini sikap yang bagus. Segala
puji bagi Allah. Alhamdulillah. Ada yang mencari bahan bacaan dari negara
jiran, ada yang mencari bahan bacaan berbahasa Inggeris, ada yang mencari bahan
bacaan berbahasa Arab, bahkan ada yang mencari bahan bacaan dari pelbagai
bahasa yang bukan bahasa utama di Malaysia.
Sikap rajin mencari ilmu ini
bagus. Namun, sebagaimana yang saya terangkan di poin pertama, asas ilmu itu
sangat penting. Disebabkan kelemahan ramai antara kita dalam memahami bahasa
asing menyebabkan kita kadang-kadang sekadar bergantung kepada teks terjemahan.
Bagi sesiapa yang mempelajari
pengkhususan terjemahan di universiti, ataupun pernah terlibat dengan
kerja-kerja penterjemahan di mana-mana institusi, mereka pasti sedar bahawa
teks terjemahan tidak akan seratus peratus sama seperti teks asal. Ini boleh
terjadi samada disebabkan oleh kelemahan penterjemah, ataupun perbezaan fungsi bahasa,
ataupun kurang faham tentang latar belakang kaum penutur asal, ataupun bermacam-macam
lagi sebab yang tidak dapat dielakkan. Tetapi yang paling teruk ialah disebabkan
kecenderungan penterjemah yang dengan sengaja memasukkan pendapat dan tafsiran
berunsur peribadi dalam teks terjemahan.
Oleh itu, bagi yang belum mampu
memahami teks asal dan hanya bergantung kepada terjemahan, berusahalah untuk
memahami bahasa asal teks supaya kefahaman kita selari dengan kefahaman penulis
asal. Kalau kita berminat mendalami Islam, pelajarilah bahasa Arab, kalau kita
cenderung terhadap politik German, pelajarilah bahasa German, kalau kita
tertarik dengan sejarah dinasti Cina, pelajarilah bahasa Cina. Moga-moga
kefahaman kita terhadap sesuatu ilmu itu tepat dan selari dengan apa yang dimaksudkan
oleh sumber-sumber asalnya.
WAllhuA’lam.
Oleh:
Muhamad `Adli bin Ahmad Rosdi
wash-kain.blogspot.com
No comments:
Post a Comment