Usai solat Maghrib, saya berborak dengan beberapa orang sahabat di masjid. Bertanya khabar, bergurau senda. Borak kami tidak lama. Hanya dalam lingkungan setengah jam kerana saya sendiri sedang mengejar masa untuk menghadiri slot terakhir seminar, forum. Tepat pukul 8.30 malam, saya meminta izin dari kawan-kawan untuk beredar bagi menghadiri forum di dewan berdekatan.
Terkejut
"Saudara-saudara boleh buka surah Yusuf dan perhatikan, nama 'Zulaikha' tidak disebut secara spesifik..." kedengaran suara panel forum berbicara tentang surah Yusuf. Saya tidak terkejut dengan pernyataan beliau kerana saya sendiri tahu tentang fakta tersebut. Tetapi saya terkejut kerana suara panel yang berbicara tentang surah Yusuf itu asing bagi saya. Saya yang dari tadi mendengar dari luar dewan bergegas masuk untuk melihat wajah panel tersebut. Ustaz Syaari Ab Rahman.
Ustaz Syaari hebat. Beliaulah yang menulis buku 'Kuasa Kepemimpinan al-Fateh'. Beliau banyak mengkaji sebelum membentangkan sesuatu fakta. Maka tidak ada salahnya beliau berbicara tentang ibrah surah Yusuf pada forum ini. Cuma bagi saya, saya lebih selesa mendengar kupasan ibrah surah ini daripada ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Lebih-lebih lagi apabila kupasan beliau dalam forum ini kedengaran seakan-akan dari modul yang sama yang sering digunakan ustaz Hasrizal.
Sesi soal jawab
Saya dapat rasakan ustaz Hasrizal semakin hilang dalam pentas dakwah umum. Sehinggakan modul yang sering beliau bentangkan pun diserahkan kepada pembentang lain, saya semakin resah. Maka, saya ambil peluang di sesi soal jawab untuk bertanyakan secara terus kepada ustaz Syaari tentang ustaz Hasrizal.
"Soalan saya mungkin bersifat peribadi, tapi saya dengar tadi ustaz ada berbicara tentang ibrah surah Yusuf, dan saya pun ada melihat poster di luar dewan yang menunjukkan ustaz akan mengadakan seminar berkaitan ibrah surah Yusuf. Soalan saya, di mana ustaz Hasrizal?" Tanya saya ketika sesi soal jawab.
Alhamdulillah, soalan saya disambut baik oleh ustaz Syaari. Tiada sedikitpun riak defensif kelihatan di muka beliau. Saya tahu, beliau faham soalan saya itu bukan bermaksud yang beliau tidak layak berbicara tentang ibrah surah Yusuf. Tetapi soalan yang saya lontarkan itu sekadar tanda saya rindu pada ustaz Hasrizal dan dahagakan kalam-kalam mutiara yang selalu keluar dari kata-katanya dan tulisan-tulisannya. Dengan tenang ustaz Syaari menjawab:
"Saya minta tuan-tuan berdoa al-Fadhil ustaz Hasrizal, guru saya dan juga guru ustaz Hilal, dapat menyempurnakan disertasi beliau di UKM. Beliau perlu fokus pada akademik dan ilmu dan saya mendoakan beliau menjadi ulama' besar di tanah air kita insyaAllah. Doakan beliau insyaAllah."
Alhamdulillah, lega saya mendengar jawapan tersebut. Maka para pembaca sekalian, doakanlah ustaz Hasrizal Abdul Jamil agar beliau dapat menyempurnakan disertasi beliau di UKM dalam kadar yang segera tanpa sebarang masalah. Moga beliau mampu kembali bergiat aktif dalam masyarakat seperti dulu-dulu. Amin...
No comments:
Post a Comment