Fasilitator :Saya baru belek-belek surat tawaran saya dan saya dapati tertulis di situ, "fasilitator dibayar sebanyak RM50 sejam".
Semua :Jadi?
Fasilitator :Kan tadi kamu semua minta balik awal. Kalau saya lepaskan kamu semua awal, di mana halalnya RM 50 yang saya makan?
Rafidah :Ala bang... kitorang halalkan.
Fasilitator :Ok, persoalan kedua. Kamu yang ambil kursus ni wajib hadir semua slot untuk lulus kan?
Semua :ya kot.
Fasilitator :hehe... setiap slot dua jam diwakili satu tandatangan kan?
Semua :ya.
Fasilitator :jadi, kalau kamu tandatangan setiap slot, tapi saya lepaskan kamu awal, lalu kamu lulus. Dimana halalnya nilai lulus kamu semua?
Arif :ala bang... SISPA ada perkhemahan petang ni.
Fasilitator :haha... lek2, saya memang akan lepaskan kamu semua awal. Tapi sengaja saya bangkitkan persoalan-persoalan ini untuk buat kamu semua berfikir.
Profesionalisme
Profesionalisme ini biasanya dikaitkan dengan etika kerja. Secara ringkasnya boleh difahami sebagai 'kemampuan melakukan kerja mengikut peraturan dan etika kerja yang ditetapkan'. Kalau pejabat tetapkan masuk kerja dan punch in sebelum pukul lapan pagi, maka itulah yang perlu dipatuhi. Kalau punch in selepas pukul lapan, sekalipun lapan satu minit, dikira tidak profesional. Kalau pejabat tetapkan deadline untuk siapkan laporan setiap dua hari selepas dokumen diterima, maka itu jugalah yang perlu dipatuhi. Terlajak satu hari dikira tidak profesional. Begitu juga etika-etika kerja lain.
Profesionalisme ini boleh juga difahami sebagai kemampuan untuk menangkis atau mengetepikan semua hal yang tidak berkaitan dengan kerja dan hanya fokus pada kerja sahaja sepanjang tempoh bekerja. Hal yang tidak berkaitan kerja ini termasuklah emosi dan perasaan. Tetapi masalahnya apabila terlampau mengejar profesional, kadang-kadang tindakan sesetengah pekerja kelihatan seperti robot. Aneh dan terlampau bersistem. Maka ketika inilah toleransi perlu bertindak meneutralkan keadaan.
Toleransi
Toleransi ini nama lainnya ialah tolak ansur. Ada yang menolak, ada yang beransur. Toleransi juga penting dalam urusan kerja supaya kita tidak jadi seperti robot. Betul, kita perlu mengikut ketetapan yang telah ditetapkan. Apa yang ditetapkan, itulah yang dilaksanakan. Tetapi harus kita sedar bahawa kadang-kadang ada situasi yang memerlukan pertimbangan insani. Ini yang kita gelarkan sebagai toleransi.
Contohnya, kaunter penerimaan borang ditutup pukul 4.45, tapi kalau tiba-tiba ada pakcik tua datang pukul 4.50, dan beliau datang dari jauh, takkanlah kita sanggup menghalau beliau? Sekadar terima borang, sepatutnya masih ada toleransi yang boleh diberikan. Ataupun contoh lain seperti banjir besar yang melanda pantai timur Malaysia baru-baru ini. Terdapat pelajar yang tidak boleh menghadiri peperiksan akhir semester kerana terperangkap dalam banjir. Maka, pihak universiti memainkan peranan untuk memberi kebenaran khas kepada mereka untuk lewat menduduki peperiksaan. Kalau ikut sistem, mereka ini dikira gagal. Tetapi sebagai manusia yang berakal, berhati dan berperasaan, kebenaran khas diberikan kerana memahami kepayahan musibah yang menimpa.
Sucikan harta
Fasilitator :sebab itulah saya nak galakkan kamu semua bersedekah. Sucikan harta tu sebab tak semua harta yang kita peroleh itu layak untuk kita. Contohnya kalau kita dapat gaji dengan kelayakan diploma, yakinkah kita bahawa diploma yang telah kita peroleh itu sesuai dengan gaji yang kita dapat? Sepanjang kita belajar di peringkat diploma, berapa kali kita plagiat? Berapa kali kawan kita tolong tandakan kehadiran kita? Sedangkan kita tidak hadir dan tidak hadir itu boleh menjadi sebab untuk kita gagal. Betul?
Semua :Betul.
Fasilitator :Saya cakap macam ni bukan untuk kamu semua sahaja, bahkan untuk diri saya sekali. Saya pernah jadi pelajar, saya pun pernah bermalas-malasan mungkin lebih teruk daripada kamu semua. Maka, marilah kita perbanyakkan sedekah. Sucikan harta daripada apa yang mungkin tidak halal bagi kita.
Sameon :Macam bayar zakat kan bang?
Fasilitator :Zakat itu wajib, itu cerita lain. yang saya cakap sekarang ni tentang sedekah. Hukumnya sunat. Perbanyakkan sedekah, insyaAllah kamu akan rasa nikmat bersedekah.
Semua :Baik abang!
No comments:
Post a Comment