Saturday, February 28, 2015

Tips asas renang

Galakan berenang



sumber: http://en.wikipedia.org/wiki/Human_swimming#mediaviewer/File:Girl_with_styrofoam_swimming_board.jpg


RasulUllah s.a.w. telah bersabda:

كل شيء ليس فيه ذكر الله فهو لهو ولعب إلا أربع: ملاعبة الرجل امرأته، وتأديب الرجل فرسه، ومشيه بين الغرضين، وتعليم الرجل السباحة

Yang maksudnya: "Setiap sesuatu yang bukan daripada zikir kepada Allah adalah kelalaian atau kealpaan, kecuali empat perkara; berjalan kaki antara dua tanda, melatih kuda, bersukaria dengan isteri, dan melatih berenang". (Riwayat Al-Tabarani dalam Al-Mu'jam al-Kabir, 2/193, no: 1785)

Rujukan: 
1) http://fatwa.islamweb.net/fatwa/index.php?page=showfatwa&Option=FatwaId&Id=21898
2) http://www.e-fatwa.gov.my/blog/aktiviti-nabi-muhammad-saw-selepas-asar-dan-asal-usul-permainan-bola-sepak


Namun, masih ramai yang tidak pandai berenang. Kalau tidak percaya, tanyalah kawan-kawan kita. Dalam 10 orang, boleh jadi lebih separuh tidak tahu berenang. Mungkin kerana kebanyakan dari kita membesar di taman-taman perumahan, ataupun kalau di kampung, kampung yang jauh dari sungai ataupun laut. Atau mungkin dekat dengan sungai, tetapi sungainya telah tercermar.


Tuesday, February 17, 2015

Rindu ustaz



Usai solat Maghrib, saya berborak dengan beberapa orang sahabat di masjid. Bertanya khabar, bergurau senda. Borak kami tidak lama. Hanya dalam lingkungan setengah jam kerana saya sendiri sedang mengejar masa untuk menghadiri slot terakhir seminar, forum. Tepat pukul 8.30 malam, saya meminta izin dari kawan-kawan untuk beredar bagi menghadiri forum di dewan berdekatan. 


Terkejut

"Saudara-saudara boleh buka surah Yusuf dan perhatikan, nama 'Zulaikha' tidak disebut secara spesifik..." kedengaran suara panel forum berbicara tentang surah Yusuf. Saya tidak terkejut dengan pernyataan beliau kerana saya sendiri tahu tentang fakta tersebut. Tetapi saya terkejut kerana suara panel yang berbicara tentang surah Yusuf itu asing bagi saya. Saya yang dari tadi mendengar dari luar dewan bergegas masuk untuk melihat wajah panel tersebut. Ustaz Syaari Ab Rahman.

Ustaz Syaari hebat. Beliaulah yang menulis buku 'Kuasa Kepemimpinan al-Fateh'. Beliau banyak mengkaji sebelum membentangkan sesuatu fakta. Maka tidak ada salahnya beliau berbicara tentang ibrah surah Yusuf pada forum ini. Cuma bagi saya, saya lebih selesa mendengar kupasan ibrah surah ini daripada ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Lebih-lebih lagi apabila kupasan beliau dalam forum ini kedengaran seakan-akan dari modul yang sama yang sering digunakan ustaz Hasrizal.


Sesi soal jawab

Saya dapat rasakan ustaz Hasrizal semakin hilang dalam pentas dakwah umum. Sehinggakan modul yang sering beliau bentangkan pun diserahkan kepada pembentang lain, saya semakin resah. Maka, saya ambil peluang di sesi soal jawab untuk bertanyakan secara terus kepada ustaz Syaari tentang ustaz Hasrizal.

"Soalan saya mungkin bersifat peribadi, tapi saya dengar tadi ustaz ada berbicara tentang ibrah surah Yusuf, dan saya pun ada melihat poster di luar dewan yang menunjukkan ustaz akan mengadakan seminar berkaitan ibrah surah Yusuf. Soalan saya, di mana ustaz Hasrizal?" Tanya saya ketika sesi soal jawab.

Alhamdulillah, soalan saya disambut baik oleh ustaz Syaari. Tiada sedikitpun riak defensif kelihatan di muka beliau. Saya tahu, beliau faham soalan saya itu bukan bermaksud yang beliau tidak layak berbicara tentang ibrah surah Yusuf. Tetapi soalan yang saya lontarkan itu sekadar tanda saya rindu pada ustaz Hasrizal dan dahagakan kalam-kalam mutiara yang selalu keluar dari kata-katanya dan tulisan-tulisannya. Dengan tenang ustaz Syaari menjawab:

"Saya minta tuan-tuan berdoa al-Fadhil ustaz Hasrizal, guru saya dan juga guru ustaz Hilal, dapat menyempurnakan disertasi beliau di UKM. Beliau perlu fokus pada akademik dan ilmu dan saya mendoakan beliau menjadi ulama' besar di tanah air kita insyaAllah. Doakan beliau insyaAllah."


Alhamdulillah, lega saya mendengar jawapan tersebut. Maka para pembaca sekalian, doakanlah ustaz Hasrizal Abdul Jamil agar beliau dapat menyempurnakan disertasi beliau di UKM dalam kadar yang segera tanpa sebarang masalah. Moga beliau mampu kembali bergiat aktif dalam masyarakat seperti dulu-dulu. Amin...

Monday, February 16, 2015

Tenggangkah aku?

31/8/2013

Alhamdulillah, berjaya juga aku jejakkan kaki ke tanah tumpah darah, Malaysia. Sungguh, terkandas selama 24 jam di sebuah negara yang keadaan politiknya masih bergolak sememangnya menakutkan. Tidak ramai yang tahu tentang berita aku terkandas di `Ardhil Kinanah itu. Cukup sekadar keluarga dan teman-teman rapat sahaja yang tahu, agar tiada resah ketika menunggu. Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa cuma 18 jam, menjadi 42 jam. Sungguh terasa lamanya. Apa-apa pun, segala puji bagi Allah yang menyelamatkanku dalam perjalanan dari sebarang bala dan malapetaka. Alhamdulillah.

Cuma, aku rasa lain. Malaysia yang aku tinggalkan tiga tahun lepas terasa kian berbeza. Adakah benar Malaysia yang berubah? Atau aku yang berbeza? Sudah menjadi Tenggangkah aku? Bukan aku maksudkan si tanggang yang derhaka terhadap ibunya lalu disumpah menjadi batu. Tetapi Tenggang yang aku maksudkan ini watak Si Tenggang dalam puisi karangan Muhammad Haji Salleh berjudul 'Si Tenggang's Homecoming'.


iii
but look
i have brought myself home,
seasoned by faith,
broadened by land and languages,
i am no longer afraid of the oceans
of the differences between people,
no longer easily snared
by words or ideas

the journey was a loyal teacher,
who was never tardy
in explaining cultures and variousness
look,
i am just like you,
still malay,
sensitive to what
i believe is good,
and more ready to understand
than my brothers.
the contents of these boats are yours too,
because i have returned.


Mencari diri

Aku yang sebenarnya telah berubah. Tiga tahun di luar negara banyak mengubah aku samada dari segi cara berfikir mahupun bergaul. Tapi tak semua perubahan itu baik di mata warga Malaysia. Setiap tempat ada adat dan adabnya yang tersendiri. Contohnya adab makan. Kalau di Malaysia, sisa makanan seperti tulang ikan kita letakkan di tepi pinggan (jika tiada pinggan khas untuk letak sisa). Tetapi di Morocco, itu dikira tidak beradab. Mereka lebih selesa meletakkan sisa makanan di atas meja. Bayangkan kalau kita di Malaysia makan bersama keluarga di satu meja bulat, lalu sisa-sisa makanan kita letakkan di atas meja makan. Jijiknya...

Friday, February 6, 2015

Profesionalisme dan toleransi



Fasilitator :Saya baru belek-belek surat tawaran saya dan saya dapati tertulis di situ, "fasilitator dibayar sebanyak RM50 sejam".
Semua :Jadi?
Fasilitator :Kan tadi kamu semua minta balik awal. Kalau saya lepaskan kamu semua awal, di mana halalnya RM 50 yang saya makan?
Rafidah :Ala bang... kitorang halalkan.
Fasilitator :Ok, persoalan kedua. Kamu yang ambil kursus ni wajib hadir semua slot untuk lulus kan?
Semua :ya kot. 
Fasilitator :hehe... setiap slot dua jam diwakili satu tandatangan kan?
Semua :ya.
Fasilitator :jadi, kalau kamu tandatangan setiap slot, tapi saya lepaskan kamu awal, lalu kamu lulus. Dimana halalnya nilai lulus kamu semua?
Arif :ala bang... SISPA ada perkhemahan petang ni.
Fasilitator :haha... lek2, saya memang akan lepaskan kamu semua awal. Tapi sengaja saya bangkitkan persoalan-persoalan ini untuk buat kamu semua berfikir.


Profesionalisme 

Profesionalisme ini biasanya dikaitkan dengan etika kerja. Secara ringkasnya boleh difahami sebagai 'kemampuan melakukan kerja mengikut peraturan dan etika kerja yang ditetapkan'. Kalau pejabat tetapkan masuk kerja dan punch in sebelum pukul lapan pagi, maka itulah yang perlu dipatuhi. Kalau punch in selepas pukul lapan, sekalipun lapan satu minit, dikira tidak profesional. Kalau pejabat tetapkan deadline untuk siapkan laporan setiap dua hari selepas dokumen diterima, maka itu jugalah yang perlu dipatuhi. Terlajak satu hari dikira tidak profesional. Begitu juga etika-etika kerja lain. 

Profesionalisme ini boleh juga difahami sebagai kemampuan untuk menangkis atau mengetepikan semua hal yang tidak berkaitan dengan kerja dan hanya fokus pada kerja sahaja sepanjang tempoh bekerja. Hal yang tidak berkaitan kerja ini termasuklah emosi dan perasaan. Tetapi masalahnya apabila terlampau mengejar profesional, kadang-kadang tindakan sesetengah pekerja kelihatan seperti robot. Aneh dan terlampau bersistem. Maka ketika inilah toleransi perlu bertindak meneutralkan keadaan.


Toleransi

Toleransi ini nama lainnya ialah tolak ansur. Ada yang menolak, ada yang beransur. Toleransi juga penting dalam urusan kerja supaya kita tidak jadi seperti robot. Betul, kita perlu mengikut ketetapan yang telah ditetapkan. Apa yang ditetapkan, itulah yang dilaksanakan. Tetapi harus kita sedar bahawa kadang-kadang ada situasi yang memerlukan pertimbangan insani. Ini yang kita gelarkan sebagai toleransi. 

Contohnya, kaunter penerimaan borang ditutup pukul 4.45, tapi kalau tiba-tiba ada pakcik tua datang pukul 4.50, dan beliau datang dari jauh, takkanlah kita sanggup menghalau beliau? Sekadar terima borang, sepatutnya masih ada toleransi yang boleh diberikan. Ataupun contoh lain seperti banjir besar yang melanda pantai timur Malaysia baru-baru ini. Terdapat pelajar yang tidak boleh menghadiri peperiksan akhir semester kerana terperangkap dalam banjir. Maka, pihak universiti memainkan peranan untuk memberi kebenaran khas kepada mereka untuk lewat menduduki peperiksaan. Kalau ikut sistem, mereka ini dikira gagal. Tetapi sebagai manusia yang berakal, berhati dan berperasaan, kebenaran khas diberikan kerana memahami kepayahan musibah yang menimpa.


Sucikan harta

Fasilitator :sebab itulah saya nak galakkan kamu semua bersedekah. Sucikan harta tu sebab tak semua harta yang kita peroleh itu layak untuk kita. Contohnya kalau kita dapat gaji dengan kelayakan diploma, yakinkah kita bahawa diploma yang telah kita peroleh itu sesuai dengan gaji yang kita dapat? Sepanjang kita belajar di peringkat diploma, berapa kali kita plagiat? Berapa kali kawan kita tolong tandakan kehadiran kita? Sedangkan kita tidak hadir dan tidak hadir itu boleh menjadi sebab untuk kita gagal. Betul?
Semua :Betul.
Fasilitator :Saya cakap macam ni bukan untuk kamu semua sahaja, bahkan untuk diri saya sekali. Saya pernah jadi pelajar, saya pun pernah bermalas-malasan mungkin lebih teruk daripada kamu semua. Maka, marilah kita perbanyakkan sedekah. Sucikan harta daripada apa yang mungkin tidak halal bagi kita.  
Sameon :Macam bayar zakat kan bang?
Fasilitator :Zakat itu wajib, itu cerita lain. yang saya cakap sekarang ni tentang sedekah. Hukumnya sunat. Perbanyakkan sedekah, insyaAllah kamu akan rasa nikmat bersedekah.
Semua :Baik abang!

Sunday, February 1, 2015

Teknik-teknik bergaduh

Pada era modenisasi ini, terdapat ramai antara kita yang berusaha bersungguh-sungguh dalam mencapai wawasan 2020. Namun begitu, dalam setiap usaha yang dilakukan, pasti terdapat 1001 macam kesulitan dan masalah yang melanda. Kebejatan ekonomi, bencana alam, keruntuhan moral, dan lain-lain lagi. Kenapa hal ini berlaku? Apakah sebabnya? Punca dan penyelesaian bagi masalah-masalah ini pastinya satu iaitu Islam.

Sidang pembaca yang dihormati sekalian,
             
                Bukankah agama Islam merupakan ad-Din yang membawa maksud suatu cara hidup yang lengkap? Apabila  Islam ditinggalkan, maka bersedialah menghadapi kehancuran! Antara masalah yang sering kita dengar adalah masalah antara ibu bapa dan anak-anak. “ANAK SAMAN BAPA!”…….. “BAPA SAMAN ANAK”……… “ANAK TERAJANG PERUT IBU SEDANG SOLAT”……… “ANAK MENGAKU IBU BAPA SUDAH TIADA” dan pelbagai lagi tajuk berita yang sering terpampang di dada-dada surat khabar kebelakangan ini.

                Bukankah telah dijelaskan di dalam Al-Quran, di dalam surah Luqman, ayat 14:
“Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa 2 tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua-dua orang tuamu. Hanya kepada Aku kamu kembali.”

Dan dalam sebuah hadis, ada disebut yang mafhumnya:
“siapa yang tidak menyayangi, tidak akan disayangi.”

                Nah, bukankah telah terang lagi bersuluh bahawa ibu bapa perlu dihormati dan dimuliakan dan anak-anak pula perlu dikasihi dan disayangi?


                K ah, malas dah nak tulis karangan panjang-panjang. Aku sendiri baca pun naik bosan. Hehe…  kalau kita perhati karangan kat atas ni, pastu tengok pulak tajuknya, macam tak kena kan? Tapi sebenarnya memang ada kaitan. Memang semua orang tahu yang menghormati ibu bapa ni wajib. Tetapi, macam mana pula kalau ibu bapa yang salah? Contohnya ibu bapa yang berat sebelah.

                Anak pertama mintak skateboard, tak dapat. Mintak sweater arsenal, dapat,  tapi dapat jersi jek. Itu pun barcelona punya. Anak kedua pula, minta nak pergi kelas tambahan, kena marah, minta beli baju baru, kena maki. Anak ketiga pula, minta keluar jalan-jalan kat bandar, dapat RM 50, minta beli seluar jeans, dapat Levi’s original.

                Bayangkan kalau ibu bapa yang perangai camni, mesti susah anak-anak kan?  Walaubagaimanapun, hendak atau tidak, kita sebagai anak-anak wajib menyayangi ibu bapa. Sedangkan sahabat nabi, Mus`ab bin Umair r.a. - yang mana ibunya tidak menyukainya memeluk agama Islam - pun masih berbuat baik terhadap ibunya, inikan pula kita. Siapalah kita?

                Namun begitu, tidak semestinya kita tidak perlu berbuat apa-apa. Dalam sesetengah keadaan, kita perlu bergaduh dengan ibu bapa. Ya! Bergaduh! Tapi bagaimana? Di bawah ini ada disediakan beberapa cara bergaduh dengan ibu bapa.

1) Tumbuk
Haha…  standard ah bro, kalo x puas ati, tumbuk jek ah kan. Macam biasa buat kat sekolah dulu. Tapi nak tumbuk mak ayah, tak boleh sembarangan. Kita kena cari peluang baik, baru berkesan. Bila peluang tu? Haa… bila mak atau ayah kita lenguh. Mesti diorang cari kita punyalah. Kalau diorang tak cari, kita sendiri offer kat diorang. “ayah, angah tumbuk belakang ayah boleh? Nampak cam lenguh jek tu”.  Korang bayangkanlah kalau buku lima korang beratnya 500gram(0.5kg). kelajuan tumbukan pula  5meter per saat. Maka, dalam setiap tumbukan, korang akan menghasilkan sebanyak 2.5momentum(kgm/s). Korang mesti tumbuk banyak kali kan? Kalo seratus kali, dengan momentum yang  tidak berubah, korang sudah berhasil menumbuk mak atau ayah korang sekuat 250 momentum. Kalau korang tumbuk 4 hari seminggu, maka korang telah berjaya menumbuk mak atau ayah korang dengan kekuatan 1000 momentum! Amacam? Cuba dulu maaa…

2) Pemulauan
 Kalau korang takut nak tumbuk mak atau ayah korang, korang boleh cuba cara lain pula. Kalau tumbuk, korang kena buat sorang2, tapi idea kedua ni kena buat ramai-ramai. Bak kata pepatah, bersatu teguh bercerai roboh. Tak gitu? Untuk menjayakan idea kedua ni, korang kena pakat ngan semua adik beradik yang teraniaya (kalau macam kes atas ni, along dengan angah lah) untuk bersatu padu memulaukan mak, ayah, dengan anak yang dimanjakan tu. Pulau macam mana? Korang pulau diorang sampai diorang tak boleh buat apa-apa pun kat rumah. Bila nampak rumah bersepah, korang kemas cepat-cepat. Jangan bagi peluang kat mak ataupun anak manja tu kemas. Kalau ada pinggan mangkuk belum basuh, korang basuh cepat-cepat. Kalau nampak tong sampah dah penuh, korang cepat-cepat buang keluar. Korang kena sentiasa cepat, barulah diorang ni(mak, ayah dengan anak manja) tak boleh buat apa-apa kat rumah tu.

3) busy-body
Teknik ni memang cukup berguna untuk balas dendam kalau korang tak puas hati dengan mak ayah korang. Aku sendiri masa ada sorang minah ni busy-body nak tahu hal peribadi aku, aku bengang tak ingat…(opss, kantoi). Haha…takyah pedulikan hal aku. Sekarang ni kita nak buat sesuatu sebagai balasan sikap pilih kasih mak ayah korang. Camne nak busy-body dengan mak ayah? Contohnya, kalau korang baru balik dari sekolah, korang jenguk dapur, tanya mak korang, “mak apa khabar harini?”. Bukan korang tak taw yang mak korang sihat, tapi saje nak busy-body. Pastu bila ayah korang balik dari kerja, korang tanya, “ayah, camne kerja harini? Penat tak? Nak along tumbuk?”. Kalau korang amal teknik ni, InsyaAllah dendam korang akan terbalas.

4) Lari dari rumah
Ini teknik yang paling aku suka. Sebenarnya ramai orang dah buat cara ni. Tapi mungkin sebab diorang salah kaedah, diorang tidak berhasil membalas dendam yang terbuku di hati, bahkan merosakkan lagi hubungan dengan mak ayah. Kalau nak lari dari rumah, kita kena tahu tempat mana kita nak pergi, kita kena pastikan juga samada kita cukup duit atau tidak untuk support belanja kat tempat baru, kemudian kena tahu juga mak ayah kita izinkan atau tidak. Aku pernah buat teknik ni, dan dengan kaedah yang betul, aku berjaya membalas dendam terhadap mak dan ayah aku. Macam mana yang aku kata dendam terbalas tu? Aku biarkan diorang tersiksa dengan selalu merasa rindu kat aku. Hahaha… korang kena cuba. Kaedahnya, belajar sungguh-sungguh, dapatkan keputusan peperiksaan terbaik, pastu, cari mana-mana badan yang sanggup sponsor korang untuk belajar di luar negara. Simple. Tapi teknik ni ada side-effect iaitu korang juga akan selalu merasa rindu kat diorang…(T_T)

Ulasan:
-apa yang aku kata berjaya balas dendam kat teknik-teknik di atas ni adalah korang berjaya mendapat kasih sayang daripada ibu bapa korang.
-teknik keempat merupakan teknik yang paling susah untuk dilakukan. Tetapi, andaikata korang tak mampu nak buat teknik keempat, korang masih ada tiga teknik lagi untuk diamalkan. (^_^)



Nota: artikel ini pernah disiarkan di qudwahalhasanah.blogspot.com dengan tajuk yang sama bertarikh 25 April 2011