Friday, July 15, 2016

Tadarus vs. Shadow fight

Perfect

Malam itu, seperti malam-malam biasa bulan Ramadhan, kami bertadarus beramai-ramai. Saya bertukar kumpulan hari ini. Kalau malam-malam biasa saya bersama pakcik-pakcik, tapi disebabkan semalam kumpulan tadarus veteran tersebut sudah khatam 30 juzuk, maka saya berpindah ke kumpulan tadarus remaja. Pakcik-pakcik veteran masih lagi meneruskan tadarus. Mereka mulakan semula bacaan dari juzuk satu. Rajin sungguh mereka.

Masalah yang berlaku tidak jauh berbeza samada dalam kalangan dewasa ataupun remaja. Masih ada yang bacaannya gagap, masih ada yang berulang kali tersalah huruf, dan macam-macam masalah lain. Disebabkan itulah perlunya beberapa orang yang agak berkebolehan memerhati bacaan setiap kumpulan tadarus supaya kesalahan bacaan dapat dikurangkan. Tambah-tambah lagi apabila terjumpa bacaan istimewa seperti imalah, isymam, tashil dan sebagainya.   *Rujuk nota di hujung artikel.

Malam itu, sedang kami memerhati bacaan salah seorang peserta tadarus, saya terpandang Leman(bukan nama sebenar) menunduk sambil bermain sesuatu di telefon pintarnya. Ketika itu bukan gilirannya membaca Al-Quran.

Leman: Yes!
Saya: Apa yang yes?
Leman: Perfect ustaz.
Saya: Perfect apa?
Leman: Ni haa, saya main shadow fight. Nyawa perfect. Power!
Saya: Kalau baca Al-Quran perfect lagi bagus.

Leman tersengih mendengar jawapan saya lalu terdiam sebentar. Selang beberapa ayat Al-Quran dibacakan oleh rakannya, Leman merapati saya lalu berbisik.

Leman: Pedas ayat ustaz tadi.
Saya: Haa... tahu pun. 

Wednesday, May 18, 2016

"Saya tak respect ustaz-ustaz ni......."

Terkejut

"Saya tak respect ustaz-ustaz ni......." 

Kata seorang pakcik di surau ketika berbual dengan seorang penceramah jemputan. Penceramah tersebut berlatarbelakangkan pendidikan sains, bukan bidang agama. Saya yang terdengar ayat sebegitu terpacul keluar dari mulutnya jadi terkejut. Beliau menyambung terus:

"Saya tak respect ustaz-ustaz ni, sebab ilmu agama itu memang bidang mereka. Kalau mereka terlibat dalam urusan agama, memang itu yang sepatutnya kerana mereka belajar bidang tersebut. Tetapi orang macam tuan ini saya respect. Belajar bidang lain, tetapi melibatkan diri pula dalam urusan dakwah." 

Mulanya saya agak tersentak mendengar ayat seperti itu. Bukan kerana berbangga dengan gelaran 'ustaz' yang pernah diberi oleh anak-anak murid, tetapi saya merasakan ada unsur takabbur dalam ungkapan seperti itu. 

Pakcik itu ahli surau. Namanya terpampang jelas pada papan organisasi surau. Pastinya beliau sudah temui ramai ustaz yang dijemput ke surau untuk memberi ceramah, atau yang dijemput untuk berkongsi ilmu, ataupun ustaz yang dijemput memberi pengisian dalam aktiviti-aktiviti surau tersebut. Apabila disebut "saya tak respect ustaz-ustaz..." saya tertanya-tanya, apa perlukah diungkapkan ungkapan angkuh sebegitu?

Wednesday, April 6, 2016

Aku, kau, doktor dan Allah

Viral. 

Baru-baru ini (4 April 2016), kecoh dalam facebook tentang teguran Dr Harlina terhadap seorang peniaga yang membahasakan diri DrHar sebagai 'awak'. Macam-macam komen dimuatnaik, ada yang setuju, ada yang tidak setuju, ada yang mengeluarkan komen sarkastik dan pelbagai reaksi terhasil akibat teguran ringkas DrHar.

Saya bukanlah orang yang terlalu mengenali DrHar, apatah lagi untuk mengikuti aktivitinya sehari-hari. Tetapi setakat yang saya tahu, beliau merupakan seorang yang dihormati lagi berakhlak mulia. Tegurannya itu pula, setelah saya amati, tiada unsur riak mahupun takabbur tentang jawatan diri ataupun gelaran 'doktor' yang disandang. Baca screencap di bawah: