"Didiklah anakmu sesuai dengan zamannya kerana hidup di zamannya sama sekali berbeza dengan zaman di mana engkau dididik"
Saya selalu terjumpa ayat ini samada di laman-laman sosial ataupun dalam artikel di buletin-buletin. Ada yang kata ayat ini diungkapkan oleh Saidina Umar r.a. Tapi WAllahuA'lam. Saya belum cari dengan teliti, jadi saya belum berani kata samada ini dari Saidina Umar r.a. ataupun orang lain. Apa-apa pun, ada iktibar boleh diambil dari mafhum ayat ini.
Beza generasi
Zaman sentiasa berubah. Bukan sahaja antara zaman ayah dengan anak, bahkan jika kita anak sulung, kemungkinan zaman kita dengan zaman adik bongsu pun berbeza. Setiap zaman ada persekitarannya yang tersendiri yang sering berubah dari semasa ke semasa. Lebih-lebih lagi di zaman dunia di hujung jari ini. Segalanya berevolusi begitu pantas. Contohnya, kalau kita memandang dari sudut permainan, kita akan dapati permainan datuk-datuk kita 50 tahun dahulu berbeza dengan permainan ayah-ayah kita 25 tahun dahulu. Permainan kita di zaman ini pula berbeza dengan permainan di zaman ayah-ayah kita. Tarik upih, boling padang, Game Boy Advance(GBA), kaki panjang, layang-layang, gasing, Game Boy Colour(GBC), tuju selipar, congkak, dam haji, tuju tin, PlayStation3(PS3), XBox 360, konda-kondi, batu seremban, aci ligan, nyorok-nyorok dan macam-macam lagi contoh permainan yang berbeza mengikut zaman. Cuba bezakan ikut zaman. Boleh?